INTERNATIONAL
Ketua WHO beri amaran situasi malapetaka di Gaza, 2 juta penduduk hadapi kebuluran
Dr Michael Ryan, memberi amaran bahawa minda dan badan kanak-kanak di Gaza lemah kerana mereka kelaparan. - Gambar fail/Reuters/Ramadan Abed
GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyatakan bahawa keadaan di Gaza adalah malapetaka, dengan dua juta penduduk sedang berdepan kebuluran, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Bercakap pada sidang akhbar di Geneva pada Jumaat, Ghebreyesus menyatakan bahawa WHO sedang menghadapi cabaran pembiayaan yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila negara penderma mengurangkan sumbangan mereka, menyifatkannya sebagai gangguan paling teruk dalam sejarah pembiayaan WHO.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan, memberi amaran bahawa minda dan badan kanak-kanak di Gaza lemah kerana mereka kelaparan.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai tidak tertanggung dan mengecam kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak dengan menyatakan keterlibatan sedemikian hanya memburukkan lagi krisis.
Menurut beliau, tahap kekurangan zat makanan sekarang menyebabkan sistem imun lumpuh. Beliau juga merujuk peningkatan kes radang paru-paru dan meningitis dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA