DUNIA

Keuntungan merosot, Lufthansa rancang kurangkan ribuan kakitangan

Agensi 27/09/2025 | 01:20 MYT
Lufthansa dilapor merancang untuk mengurangkan ribuan kakitangan pentadbiran dalam usaha menurunkan kos operasi selepas mengalami kejatuhan mendadak dalam keuntungan. - Gambar fail AP
FRANKFURT: Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa dilapor merancang untuk mengurangkan ribuan kakitangan pentadbiran dalam usaha menurunkan kos operasi selepas mengalami kejatuhan mendadak dalam keuntungan, menurut sumber rapat pada Jumaat.

Keuntungan kumpulan itu merosot hampir 20 peratus pada 2024 susulan siri mogok pekerja serta kelewatan penghantaran pesawat baharu.

Dua sumber mengesahkan Lufthansa sedang bersiap sedia untuk memberhentikan sehingga 20 peratus tenaga kerja pentadbiran.

Akhbar kewangan Handelsblatt melaporkan, Lufthansa kini menggaji kira-kira 15,000 kakitangan pejabat, dengan jumlah keseluruhan tenaga kerja sekitar 103,000 orang.

Lufthansa yang turut memiliki Eurowings, Austrian Airlines, Swiss International Air Lines dan Brussels Airlines, enggan mengulas ketika dihubungi.

Bagaimanapun, saham syarikat itu meningkat lebih tiga peratus di Frankfurt selepas laporan mengenai perancangan pengurangan tersebut tersebar.

Syarikat dijangka membentangkan strategi dan unjuran prestasi kepada pelabur pada Isnin depan.

Kesatuan tolak pengurangan

Pakar penerbangan Gerald Wissel dari Airborne Consulting berkata, Lufthansa mahu menumpukan semula pengurusan di peringkat pusat.

“Dalam konteks ini, pengurangan pekerjaan di peringkat pejabat nampak munasabah, tetapi tetap sukar untuk memberhentikan begitu ramai pekerja secara berhemah dari segi sosial,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, kesatuan sekerja Verdi yang mewakili sebahagian pekerja Lufthansa menegaskan, tidak akan menerima sebarang pemotongan drastik.

“Kami akan menggunakan rundingan gaji seterusnya untuk menentang langkah ini,” kata wakil kesatuan, Marvin Reschinsky.

Lufthansa semakin ketinggalan berbanding pesaing utama Eropah seperti International Airlines Group (IAG) dan Air France-KLM yang berjaya mencatatkan keuntungan lebih baik.

Jurang prestasi itu menambah tekanan ke atas syarikat penerbangan Jerman itu untuk mempercepatkan proses penstrukturan semula dan meningkatkan kecekapan operasi.

Penganalisis menjangkakan pembentangan kepada pelabur minggu depan bakal menjadi ujian penting keupayaan Lufthansa meyakinkan pasaran bahawa syarikat mampu mengembalikan prestasi tanpa mencetuskan pertikaian besar dengan pekerja. - Agensi







#Lufthansa #untung Lufthansa merosot #kurangkan kakitangan #prestasi Lufthansa