DUNIA

Khalil Al-Hayya ketuai delegasi Hamas tiba di Mesir untuk rundingan damai Gaza

Agensi 06/10/2025 | 00:10 MYT
Delegasi yang diketuai Hayya itu hadir ke Mesir “bagi memulakan rundingan mengenai mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera pendudukan serta pertukaran tahanan.” - Gambar fail Reuters
KAHERAH: Ketua perunding Hamas, Khalil Al-Hayya, tiba di Mesir pada Ahad mengetuai delegasi pergerakan Palestin itu bagi menyertai rundingan tidak langsung dengan Israel melibatkan pertukaran tebusan-tahanan dan cadangan gencatan senjata di Gaza.

Pertemuan dijadualkan berlangsung pada Isnin di bandar peranginan Sharm Al-Sheikh, Mesir - yang merupakan kemunculan pertama Hayya sejak beliau menjadi sasaran serangan udara Israel ke atas pemimpin Hamas di Doha bulan lalu.

Awal Ahad, Hayya tampil dalam rakaman televisyen yang disiarkan dari Qatar - negara yang bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS) menjadi pengantara dalam siri rundingan sebelum ini.

Menurut kenyataan Hamas, delegasi yang diketuai Hayya itu hadir ke Mesir “bagi memulakan rundingan mengenai mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera pendudukan serta pertukaran tahanan.”

Kedua-dua Hamas dan Israel sebelum ini menyatakan reaksi positif terhadap pelan jalan damai yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang melibatkan penghentian pertempuran dan pembebasan tebusan di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel.

Bagaimanapun, butiran lanjut masih perlu dimuktamadkan.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan, delegasi Israel akan berlepas ke Sharm Al-Sheikh pada Isnin.

Trump pula menghantar dua wakil khas, iaitu Utusan Khas, Steve Witkoff serta menantunya, Jared Kushner, untuk memuktamadkan perjanjian itu.

Dalam ucapan yang disiarkan pada Ahad, Hayya tidak menyebut mengenai rundingan mahupun gencatan senjata, sebaliknya menzahirkan kesedihan atas kematian anaknya bersama lima individu lain dalam serangan di Doha.

Difahamkan, pemimpin kanan Hamas terselamat daripada serangan disasarkan Israel di Doha, yang mengorbankan enam nyawa dan mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk teguran daripada Trump serta permohonan maaf Netanyahu kepada Qatar. - Agensi



#Khalil Al-Hayya #Pemimpin hamas #rundingan gencatan senjata #Benjamin Netanyahu