DUNIA
Khamenei tegaskan Iran ‘tidak akan sesekali tunduk’ kepada AS
Ayatollah Ali Khamenei menyampaikan mesej yang disiarkan secara langsung di televisyen selepas gencatan senjata antara Iran dan Israel, di Tehran, Iran, pada Khamis. - Gambar Reuters
TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan, negaranya tidak akan sesekali tunduk kepada Amerika Syarikat, dalam kenyataan pertama beliau sejak gencatan senjata dicapai antara Iran dan Israel.
Khamenei, 86, mendakwa, Iran telah mencapai kemenangan selepas 12 hari konflik bersenjata, yang memuncak dengan serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah, di Qatar, selepas Washington menyertai serangan Israel ke atas Iran.
“Presiden AS, Donald Trump, telah mendedahkan kebenaran bahawa Amerika tidak akan berpuas hati selagi Iran tidak menyerah kalah... namun perkara itu tidak akan berlaku,” tegas Khamenei.
Kenyataan beliau itu dibuat dua hari selepas gencatan senjata antara kedua-dua musuh ketat itu dikuatkuasakan, menyaksikan konfrontasi paling dahsyat dan berdarah antara Iran dan Israel setakat ini.
Ia juga merupakan penampilan umum pertama Khamenei sejak 19 Jun lalu.
Ucapannya dibuat di tengah-tengah percanggahan laporan di Amerika mengenai tahap kemusnahan yang disebabkan oleh serangan udara AS ke atas tapak nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Presiden Trump sebelum ini mendakwa serangan itu “melumpuhkan sepenuhnya” kemudahan nuklear Iran.
Namun, Khamenei menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan kenyataan Trump sebagai keterlaluan, sambil menegaskan bahawa AS “tidak memperoleh apa-apa” daripada perang tersebut.
Beliau menyifatkan serangan udara AS “tidak membawa kesan besar” kepada program nuklear Iran.
“Republik Islam menang dan dalam tindakan balasnya, memberi tamparan hebat kepada muka Amerika,” katanya merujuk kepada serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan AS di Qatar, yang dilaporkan tidak menyebabkan sebarang korban jiwa.
Menurut wartawan Al Jazeera, Resul Serdar yang membuat liputan dari Tehran, Khamenei turut memuji keberanian pasukan tentera Iran, sambil menepis dakwaan kononnya angkatan tentera negara itu menerima tamparan hebat akibat serangan Israel.
Sementara itu, rakyat Iran yang sebelum ini melarikan diri dari Tehran semasa perang, kini dilaporkan mula pulang ke ibu negara, namun masih wujud kebimbangan bahawa konflik ini hanya permulaan kepada gelombang serangan yang lebih besar.
“Ramai warga Iran mula mempersoalkan kecekapan sistem pertahanan udara negara ini, dan bimbang terhadap kerentanan Iran dalam menghadapi serangan seterusnya dari AS atau Israel,” kata Serdar.
Khamenei dalam ucapannya juga menyatakan bahawa pasukan tentera Iran berjaya menyasarkan sasaran ketenteraan dan bukan ketenteraan di Israel serta menyebabkan kerosakan besar. Beliau memberi amaran, “jika Israel menyerang lagi, mereka akan menyaksikan kemusnahan yang lebih dahsyat.”
Tambahnya lagi, program nuklear Iran masih utuh walaupun serangan hebat dilancarkan.
“Sebahagian besar tapak nuklear masih berfungsi, dan Iran akan meneruskan program nuklearnya,” katanya.
Kedua-dua Iran dan Israel mendakwa mencapai kemenangan dalam perang 12 hari itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataannya pada Selasa menyifatkan kemenangan Israel sebagai “bersejarah.”
Menurut Kementerian Kesihatan Iran, serangan Israel telah meragut sekurang-kurangnya 627 nyawa orang awam, manakala serangan balas Iran ke atas Israel pula menyebabkan 28 kematian.
Satu upacara pengebumian negara akan diadakan di Tehran pada Sabtu bagi menghormati komander tertinggi dan saintis nuklear yang terkorban dalam konflik tersebut. - Agensi
#konflik Israel-Iran
#Ayatollah Ali Khamenei
#Iran tidak akan tunduk
#Amerika Syarikat
#Israel serang Iran