Skip to main content

Dunia

KHOM Malaysia raikan anak-anak yatim Palestin di Beirut

Astro AWANI
Nik Marina meluangkan masa bersama anak-anak yatim sempena majlis berbuka puasa di Beirut, Lubnan. - Gambar Astro AWANI.

BEIRUT: Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia berkongsi kasih sayang bersama 75 anak yatim pelarian Palestin di sini pada Isnin lalu.

Pengerusi misi KHOM Malaysia, Nik Marina Datuk Hussin berkata, aktiviti sebegini penting untuk memberi sokongan berbentuk psikososial untuk memulihkan trauma mereka yang sedang bergelut dengan suasana peperangan.

Advertisement

“Kita cuba berikan sokongan agar trauma mereka dapat dirawat jadi majlis pada hari ini untuk memastikan anak-anak yatim ini dapat gembira sebagai kanak-kanak,” katanya kepada Astro AWANI di sini.

Image
Astro AWANI
Nik Marina (kiri) bersama Johan Arief melayan kanak-kanak pelarian Palestin. - Gambar Astro AWANI.

Pada masa sama, sukarelawan KHOM Malaysia turut menyertai aktiviti permainan bersama-sama peserta seperti kerusi berirama, tarian zumba dan menyusun jalur gemilang.

Selain itu, kanak-kanak tersebut turut menerima sumbangan alat permainan beserta hidangan juadah makanan untuk berbuka puasa bersama sempena ramadan.

Turut hadir untuk meraikan kanak-kanak tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Malaysia di Lubnan, Johan Arief Mohmad Jaafar.

Beliau berpandangan, usaha pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti KHOM Malaysia dan sumbangan rakyat Malaysia terhadap warga pelarian Palestin di Lubnan amat memberangsangkan.

“Mereka sangat konsisten dalam memberi bantuan dan saya amat gembira dengan kerjasama yang telah diberikan,” ujar Johan.

Difahamkan kanak-kanak tersebut berasal dari kem pelarian Ein El-Hilweh yang merupakan antara 12 kem pelarian untuk warga Palestin sejak tahun 1948 apabila mereka diusir oleh penceroboh yahudi ketika peristiwa Nakbah.

Malah pada 20 Februari lalu media melaporkan rejim zionis Israel turut melancarkan serangan roket terhadap kem berkenaan yang menyebabkan 12 warga Palestin telah terkorban.

Menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terdapat hampir 170,000 pelarian Palestin berdaftar yang tinggal di Lubnan namun angka tidak rasmi menunjukkan dua kali ganda dari jumlah sebentar.

Must Watch Video