Kim Jong Un gesa Korea Utara perkukuh sistem pencegahan peperangan

Bernama
April 11, 2023 09:39 MYT
Gesaan Kim Jong Un itu hadir ketika menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Pekerja Korea (WPK) pada Isnin. - Gambar fail
SEOUL: Pemimpin Kim Jong Un menggesa Korea Utara memperkukuh sistem pencegahan peperangan, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik agensi berita Korea Utara KCNA pada Selasa.
Kim berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Pekerja Korea (WPK) pada Isnin, susulan latihan ketenteraan bersama yang dijalankan oleh Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Mesyuarat itu diadakan ekoran Korea Utara gagal menjawab panggilan rutin dari Korea Selatan sejak beberapa hari lalu yang dibuat melalui saluran komunikasi langsung mereka, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan.
Tiada respons terhadap panggilan standard dua kali sehari antara pegawai perhubungan, menurut kementerian itu Isnin.
Pemerhati percaya kegagalan komunikasi berkenaan sebagai tindak balas Korea Utara terhadap latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan.
Ketegangan di semenanjung Korea telah meningkat ketara sejak tahun lepas.
Korea Utara berterusan menguji peluru berpandu berkeupayaan nuklear, walaupun larangan dikeluarkan oleh resolusi PBB.
Sementara itu, AS dan Korea Selatan telah menyambung semula latihan ketenteraan bersama.
-- BERNAMA
#Kim Jong Un #latihan ketenteraan #sistem pencegahan peperangan #pertahanan #Korea Utara