Kim Jong Un larang rakyat berambut 'mullet', pakai seluar 'skinny'

Faris Danial Razi
Mei 23, 2021 02:00 MYT
Jong Un memerintahkan pegawai bertugas untuk mengenakan tindakan tegas bagi sesiapa yang menggayakan rambut berwarna, menindik hidung atau bibir, dan berseluar jean koyak. -AP
PYONGYANG: Rakyat Korea Utara tidak dibenar menggayakan rambut ‘mullet’ dan memakai seluar jean ketat atau ‘skinny’.
Larangan itu diumum pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebagai usaha mempertahankan rejimnya.
Menurut laporan media Rodong Sinmun, arahan itu dikeluarkan apabila beliau khuatir anak-anak muda di negara itu akan dipengaruhi budaya barat, sekali gus memungkinkan generasi muda untuk menentang pemerintahannya.
Malah, Jong Un memerintahkan pegawai bertugas untuk mengenakan tindakan tegas kepada sesiapa yang menggayakan rambut berwarna, menindik hidung atau bibir, dan berseluar jean koyak.
"Kita harus berhati-hati bahkan untuk perkara kecil sekali pun kerana ia melibatkan gaya hidup kapitalistik, dan kita perlu berjuang untuk menghentikan penampilan itu.
"Sejarah mengajar kita satu pengajaran penting bahawa sesuatu negara akan menjadi rentan dan seterusnya runtuh seperti tembok yang tidak kukuh jika kita tidak berpegang pada gaya kita sendiri," tegas Kim Jong Un.
Korea Utara telah melarang pembawaan budaya asing untuk menjaga daya tarik "dekaden"nya di masa lalu, malah pejabat pemerintah turut melarang muzik pop, terutamanya K-pop.
Pada tahun 2018, Jong Un berjanji untuk menghancurkan budaya kapitalis, lapor portal Washington Post.
Sebelum ini, Jong Un telah melarang penggunaan ubat-ubatan dan barangan perubatan dari China untuk digunakan di hospital di Pyongyang.
Larangan tersebut dibuat apabila seorang kakitangan pejabatnya dilapor meninggal dunia selepas diberi ubat-ubatan buatan China ketika menerima rawatan sakit lelah.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !

#Korea Utara #Kim Jong Un #seluar ketat #rambut mullet #generasi muda #larangan #seluar koyak #tindik hidung #rambut berwarna #gaya hidup kapitalistik #jean koyak