DUNIA

Kim Jong Un saksikan ujian peluru berpandu baharu Korea Utara

Agensi 24/08/2025 | 00:20 MYT
Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu pertahanan udara baharu dalam ujian yang diselia sendiri oleh pemimpin mereka, Kim Jong Un. - Gambar fail Reuters
SEOUL: Media rasmi Korea Utara melaporkan negara itu telah melancarkan dua peluru berpandu pertahanan udara baharu dalam ujian yang diselia sendiri oleh pemimpin mereka, Kim Jong Un.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), senjata tersebut dikatakan memiliki “keupayaan tempur unggul” serta menggunakan “teknologi unik”, walaupun tidak dijelaskan secara terperinci.

Ujian yang dijalankan pada Sabtu itu membuktikan kedua-dua jenis peluru berpandu tersebut “sangat sesuai” untuk memusnahkan pelbagai sasaran udara termasuk dron dan peluru berpandu jelajah, lapor KCNA.

Tindakan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Korea Selatan mengesahkan tenteranya melepaskan tembakan amaran pada Selasa lalu terhadap sekumpulan askar Korea Utara yang didakwa menceroboh masuk sebentar ke Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara.

Menurut laporan Yonhap, sekitar 30 askar Korea Utara dilaporkan melintasi sempadan yang dikawal ketat itu sebelum berundur semula.

Perintah Tentera Bersatu Bangsa-Bangsa (UNC) turut mengesahkan insiden tersebut.

Sebagai reaksi, Pyongyang menuduh Seoul melakukan “provokasi sengaja.”

Insiden ini berlaku ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang melaksanakan latihan ketenteraan besar-besaran sejak Isnin lalu.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dijadual bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Washington pada Isnin dalam sidang kemuncak rasmi. Lee sebelum ini berkempen dengan janji memperbaiki hubungan antara Korea Selatan dan Korea Utara, namun usaha kerajaan baharunya itu ditolak mentah-mentah oleh adik Kim Jong Un.

Awal bulan ini, Kim sendiri mengecam latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan, menyifatkannya sebagai “paling bermusuhan dan bersifat konfrontasi”, selain berikrar untuk mempercepatkan usaha menambah kekuatan senjata nuklear negaranya.

Pada Januari lalu, Pyongyang mendakwa berjaya menguji peluru berpandu balistik jarak sederhana dengan hulu peledak hipersonik yang menurut mereka mampu “menahan sebarang musuh di rantau Pasifik”.

Pihak berkuasa Seoul sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Korea Utara menerima teknologi peluru berpandu dari Rusia sebagai pertukaran menghantar tentera membantu Moscow dalam peperangan di Ukraine.

Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada peluru berpandu baharu yang diuji itu turut melibatkan sebarang teknologi dari Rusia.

Korea Utara kekal sebagai antara negara totalitarian paling tertutup di dunia, diperintah keluarga Kim sejak beberapa dekad lalu.

Korea Utara dan Korea Selatan secara teknikalnya masih berada dalam keadaan perang kerana konflik 1950–1953 berakhir tanpa sebarang perjanjian damai. - Agensi


#Korea Utara #Kim Jong Un #peluru berpandu #Zon Bebas Tentera