TOKYO: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Khamis mengakui mengemukakan laporan yang tidak lengkap mengenai perbelanjaan kempennya semasa pilihan raya umum tahun lepas, Xinhua memetik laporan media tempatan.

Menurut penyiar awam Jepun NHK, majalah mingguan Shukan Bunshun edisi dalam talian melaporkan mengenai perbelanjaan perdana menteri yang turut menunjukkan bahawa pejabatnya telah menyerahkan 94 resit tanpa alamat atau penerangan mengenai perbelanjaan itu.

Ini, kata Shukan Bunshun, mungkin melanggar undang-undang pilihan raya Jepun.

Pendedahan mengenai kemungkinan pembiayaan pilihan raya yang tidak sewajarnya berlaku berikutan beberapa skandal dan penyelewengan pembiayaan lain yang telah menyebabkan tiga menteri Kishida dipecat dalam tempoh kurang sebulan, di tengah kemerosotan sokongan orang ramai terhadap kabinet Kishida.

Kishida sendiri memberitahu pemberita pada Khamis bahawa perbelanjaan yang terlibat dengan kempennya adalah sesuai, namun mengakui terdapat "kekurangan" dalam resit yang dilampirkan.

Kishida, yang juga ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, berkata orang yang bertanggungjawab ke atas resit itu mengetahui tujuan resit namun telah mengabaikan keperluan untuk menambah butiran yang diperlukan pada resit fizikal.

Susulan pendedahan terbaru isu berkaitan LDP membabitkan laporan dana politik, kali ini membabitkan perdana menteri sendiri, Kishida di tengah-tengah spekulasi mengenai rombakan kabinet berikutan tiga menterinya dipecat baru-baru ini berkata beliau tidak merancang merombak kabinetnya.

Beliau berkata kabinetnya "berhasrat untuk memberi tumpuan kepada pelbagai cabaran politik", seperti perbincangan dalam sidang parlimen yang sedang berjalan dan berusaha untuk menyemak semula tiga dokumen pertahanan utama menjelang akhir tahun, menurut akaun media tempatan.

Tekanan bagaimanapun semakin meningkat ke atas Kishida untuk mendapatkan kembali kepercayaan kabinetnyadengan pemerhati politik berkata rombakan kabinet dan penyusunan semula barisan kepimpinan LDP sebelum akhir tahun merupakan "langkah yang boleh dijangkakan".

Rombakan kabinet terakhir berlaku pada awal Ogos, yang merupakan penstrukturan pertama kabinetnya sejak Kishida memegang jawatan pada Oktober 2021.

Sama ada rombakan kabinet berlaku atau tidak, parti pembangkang dan orang ramai semakin marah dan tidak percaya kepada kabinet Kishida berikutan bekas menteri dalam negeri Minoru Terada dipecat pada Ahad kerana kaitannya dengan skandal pembiayaan politik, dan sebelum itu, bekas -menteri pemulihan ekonomi Daishiro Yamagiwa dipecat kerana mempunyai hubungan dengan greja kontroversi Unification.

Tamparan awal kepada sokongan kabinet Kishida berlaku apabila Menteri Kehakiman Yasuhiro Hanashi meletak jawatan kerana kenyataan yang meremehkan peranannya dalam mengarahkan hukuman mati bagi banduan di Jepun.

Menteri pembinaan semula Kenya Akiba juga dikecam oleh kem pembangkang kerana didakwa menyalahgunakan dana politik, bersama-sama dengan pelanggaran undang-undang pilihan raya pejabat awam, kata media tempatan, berdasarkan laporan dalam majalah mingguan.

Akiba didakwa membayar kira-kira 200,000 yen (AS$1,400) kepada setiausaha kerajaan negerinya sebagai bantuan kepada mereka yang terlibat dengan kempen untuk dipilih semula ke dewan perundangan pada Oktober 2021.

Jika terbukti, ia melanggar undang-undang pilihan raya Jepun.

Menteri hal ehwal dalam negeri Takeaki Matsumoto yang menyandang jawatan itu beberapa hari lalu berikutan pemecatan menteri lama akibat skandal juga menjadi perhatian selepas dakwaan kemungkinan pelanggaran dana politik.

Organisasi pengurusan dana politik Matsumoto disyaki menjual lebih banyak tiket untuk pihak yang mengumpul dananya berbanding jumlah tempat duduk, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

-- BERNAMA