[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Kita berada di titik peralihan untuk selesaikan konflik Rusia-Ukraine - Menteri Luar Turkiye

Bernama 21/05/2025 | 15:32 MYT
Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menyatakan harapan agar perbincangan itu dapat menjadi asas kepada keamanan yang adil dan berkekalan. - AP
ISTANBUL: Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menyatakan bahawa Ankara berharap rundingan yang dihoskan Istanbul dapat membuka jalan ke arah gencatan senjata menyeluruh dalam konflik Rusia-Ukraine.
"Kita berada di titik peralihan dalam usaha mencari penyelesaian diplomatik," kata Fidan pada Mesyuarat Tidak Rasmi Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Negara-Negara Turki (OTS) yang diadakan di Budapest, Hungary.
Beliau menyatakan harapan agar perbincangan itu dapat menjadi asas kepada keamanan yang adil dan berkekalan.
Menurut Kementerian Luar Turkiye, Fidan turut menyeru kerjasama serantau yang lebih erat dalam kalangan negara-negara Turki, sambil menekankan bahawa sistem antarabangsa ketika ini gagal mewujudkan keamanan, kestabilan dan keadilan.
Mengenai situasi di Gaza, Fidan mengecam penggunaan kelaparan sebagai senjata serta ancaman pengusiran terhadap rakyat Palestin, sambil menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan konkrit dan tegas terhadap Israel bagi menjamin keamanan dan keselamatan serantau.
Menyentuh isu Syria, Fidan berkata terdapat kemajuan hasil usaha diplomatik Turkiye, khususnya dalam menggalakkan dialog dengan pelbagai pihak serantau dan antarabangsa.
Beliau menyeru negara anggota OTS supaya terus menyokong Syria dalam tempoh peralihannya.
Fidan turut merakamkan penghargaan kepada Hungary kerana menjadi tuan rumah mesyuarat itu dan menyatakan kepuasan terhadap hasil yang dicapai.
-- BERNAMA
#konflik #rusia-ukraine #rundingan #gencatan senjata #Hakan Fidan