TOKYO: Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi pada Ahad memuji anggota Pasukan Pertahanan Diri (SDF) yang pulang selepas membantu memadamkan kebakaran hutan di Indonesia, lapor Kyodo News.
"Saya amat gembira kerana anda berjaya melaksanakan misi dengan cemerlang," kata Koizumi pada majlis menyambut kepulangan anggota.
Menurut Kementerian Pertahanan, Koizumi menyifatkan operasi itu sebagai "misi pemadaman kebakaran di luar negara yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini dalam keadaan mencabar" dan melahirkan rasa gembira kerana semua anggota selamat pulang ke tanah air.
Majlis itu dihadiri anggota yang mengendalikan helikopter pengangkut CH-47 milik Pasukan Pertahanan Diri Darat, kru kapal pengangkut Kunisaki milik Pasukan Pertahanan Diri Maritim yang membawa helikopter berkenaan, serta ahli keluarga mereka.
Pada September, Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa kapal Kunisaki tiba di Kalimantan Barat, sebuah wilayah Indonesia di bahagian barat Pulau Borneo, bagi membantu tentera Indonesia menjalankan operasi pemadaman kebakaran dari udara.
Misi itu merupakan kali pertama SDF Jepun menyertai operasi pemadaman kebakaran di luar negara.
Koizumi ketika berucap kepada anggota SDF di pangkalan tentera laut Yokosuka berhampiran Tokyo pada Ahad berkata Indonesia telah berulang kali menyatakan penghargaan atas bantuan berkenaan.
"Kami berjaya membina hubungan saling percaya yang lebih kukuh supaya dapat membantu antara satu sama lain ketika diperlukan," katanya.
Kebakaran yang sebahagiannya dikaitkan dengan aktiviti pembersihan tanah telah berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia, khususnya di Borneo dan Sumatera, memusnahkan kawasan hutan tropika yang luas serta menyebabkan jerebu toksik merebak ke negara jiran.
Unit SDF itu berlepas dari pangkalan Pasukan Pertahanan Diri Maritim di Kure, wilayah Hiroshima di barat Jepun, pada 30 Ogos dan memulakan operasi pemadaman kebakaran di Indonesia pada 16 Sept.
Tiga helikopter unit itu melakukan 56 penerbangan untuk menggugurkan air dengan jumlah keseluruhan kira-kira 280 tan. Anggota berkenaan pulang pada Jumaat.
-- BERNAMA-KYODO