DUNIA

Kolera ragut 12 nyawa di Mozambique dalam tempoh 24 jam, kes meningkat di Malawi

Bernama 31/01/2026 | 22:30 MYT
Seorang warga emas dilihat masih berada di dalam rumahnya yang sudah dimasuki air banjir di Maputo, Mozambique, 21 Jan 2026. - Gambar hiasan/REUTERS
LILONGWE (Malawi): Mozambique merekodkan 12 kematian akibat kolera dalam tempoh 24 jam lalu, selain 135 kes baharu, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

Berdasarkan data daripada Direktorat Kesihatan Awam, sejak wabak semasa bermula pada September tahun lepas, kes-kes baharu telah melonjak di wilayah Tete, Nampula, dan Cabo Delgado, lokasi 12 kematian tersebut berlaku.

Wilayah Tete, yang terletak di wilayah tengah negara di Tenggara Afrika itu, telah menjadi pusat wabak berkenaan dengan angka korban meningkat lebih dua kali ganda dalam beberapa hari kebelakangan ini dan 87 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Pada 28 Jan sahaja, Mozambique merekodkan 135 kes baharu, dengan 49 pesakit dimasukkan ke hospital. Pada 2025, seramai 169 orang meninggal dunia akibat kolera di negara itu, yang mendorong kerajaan merangka pelan pada 16 Sept tahun lalu, dengan matlamat untuk menghapuskan kolera sebagai "masalah kesihatan awam" menjelang 2030.

Jurucakap Kabinet Innocencio Impissa baru-baru ini memberitahu pemberita bahawa "matlamatnya adalah untuk memastikan Mozambique bebas daripada kolera sebagai masalah kesihatan awam menjelang 2030, iaitu komuniti akan mendapat akses kepada air bersih, sanitasi, dan penjagaan kesihatan berkualiti dicapai melalui tindakan pelbagai sektor yang diselaraskan serta berpandukan bukti saintifik."

Mozambique kini sedang bergelut dengan banjir besar, yang telah mengorbankan ramai orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebat selama berminggu-minggu.

-- BERNAMA


#kolera #banjir #Mozambique #angka korban