INTERNATIONAL
[KOLUMNIS] Ada apa dengan Myanmar?
![[KOLUMNIS] Ada apa dengan Myanmar? [KOLUMNIS] Ada apa dengan Myanmar?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-04/41745043402_ASEANMyanmar.jpg)
Penulis (tiga, kiri, depan) mengikuti bengkel bersama Tran Anh Hung.
TIDAK ada pertelagahan yang membawa kebaikan. Ia tidak memberi apa-apa - kecuali kesempatan untuk mencari dan membina semula ruang persefahaman serta kebersamaan.
Minggu ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN mengadakan pertemuan dengan dua kumpulan dari Myanmar; dua hari berturut-turut. Pertemuan yang memperlihatkan komitmen dan iltizam dalam ruang diplomasi - menuju kestabilan serantau yang sangat diperlukan ketika ini.
Pertemuan pertama adalah di sebuah hotel di Bangkok, menemui Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) selaku ketua kerajaan junta Myanmar. Keesokannya, pada pagi 18 April, Perdana Menteri menemui pula Perdana Menteri kerajaan bayangan dari Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, U Mahn Win Khaing secara dalam talian.
Bencana gempa yang baru melanda Myanmar beberappa minggu lalu menjadikan usaha ini sebagai keperluan mendesak – dan ASEAN mengambil peranan sehingga akhirnya genjatan senjata dipersetujui kedua-dua pihak.Dua kumpulan ini kini menguasai beberapa kawasan masing-masing. Keduanya terbentuk setelah Myanmar sekali lagi melalui kudeta oleh junta tentera pada tahun 2021 yang lalu – setelah berjaya mencapai pemerintahan demokratik selama hampir 10 tahun.
Dua tahun sebelum kudeta terbaharu ini berlaku, tepatnya pada tahun 2019, saya sempat menjejakkan kaki ke Yangon.

Penulis menjejakkan kaki ke Yangon pada 2019.
Kunjungan itu adalah bagi menghadiri `MEMORY! - International Film Heritage Festival`, sebuah festival yang meraikan filem sebagai warisan dan khazanah penting – dengan menayangkan pelbagai filem klasik dari seluruh dunia. Ia juga mempromosi signifikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan termasuklah restorasi filem. Sejak diadakan pertama kali bermula tahun 2013 di Kemboja, lokasi penganjurannya telah berpindah ke Yangon bermula tahun 2014.
Malam pembukaan festival ini diadakan di sebuah pawagam lama yang berusia hampir 100 tahun, Waziya Cinema. Bangunannya sudah uzur, kerusi duduknya daripada kayu. Sempat elektrik terputus beberapa minit ketika tayangan filem pembukaan. Namun, bangunannya membawa aura tersendiri – membuatkan kita leka menikmati magis sinema.
Selain menghadiri festival tersebut, saya sebenarnya memang merancang untuk mengatur pertemuan dengan sahabat saya dari Save Myanmar Film (SMF); sebuah organisasi yang berusaha menyelamat, memelihara dan memulihara warisan filem di Myanmar. Saya berkenalan dengan sahabat saya itu - Maung Okkar – yang merupakan pengarah bagi organisasi tersebut ketika bertemu di Bangkok dalam sebuah bengkel yang dianjurkan oleh pihak UNESCO beberapa bulan sebelumnya.

Arkib Filem Kementerian Penerangan.
Okkar merupakan seorang pembikin filem generasi ketiga, yang mana datuk dan ayahnya merupakan pembikin filem penting dalam sejarah sinema Myanmar. Setelah melihat sekian banyak filem tempatan, termasuklah filem-filem terbitan keluarganya hilang, rosak mahupun dimusnahkan – terutama ketika di bawah pemerintahan junta terdahulu - beliau bersama bersama rakan-rakan mengambil langkah untuk mengusahakan SMF.
Selain dibawa melawat SMF ketika itu, Okkar juga membawa saya melawat Arkib Filem Kementerian Penerangan, satu-satunya pusat penyimpanan filem di negara itu. Dengan kondisi yang sangat memerlukan perhatian – ia hanyalah sebuah bilik biasa yang tidak mengikut spesifikasi vault penyimpanan filem sepatutnya – dan hanya dijaga oleh seorang penjaga tidak mempunyai kemahiran sewajarnya.
Oleh kerana itu, SMF telah diberikan hak oleh kerajaan itu membantu penyelenggaraan di arkib filem tersebut, yang mana SMF aktif mendapatkan sokongan dari pelbagai negara luar untuk berkongsi kepakaran, bantuan kewangan serta bimbingan berhubung usaha restorasi dan pengurusan koleksi. Sebelum itu, beberapa usaha restorasi dan pendigitalan juga telah berjaya dijalankan SMF dengan kerjasama arkib filem di Thailand dan Jepun.

Arkib Filem Kementerian Penerangan.
Di tengah kepadatan jadual menghadiri MEMORY!, saya mengambil masa ke Pusat Pembangunan Filem yang digerakkan di bawah Bahagian Pembangunan Filem, Kementerian Penerangan Myanmar. Di sana, saya bertemu ketuanya ketika itu, Nyein Ko Tun.
Fokus pusat ini lebih tertumpu kepada program latihan dan pembangunan bakat, serta program peningkatan apresiasi filem. Di situ, saya sempat mengikuti sebuah bengkel bersama pengarah Perancis kelahiran Vietnam yang terkenal, Tran Anh Hung; yang diadakan bersempena festival filem MEMORY! yang sedang berlangsung itu.
Saya sangat menyukai bandar Yangon – apatah lagi nasi biryani dagingnya. Berulang kali saya ke Nilar Biryani di tengah kotanya. Juga menonton filem tempatan di Junction City.
Sebagai negara yang baru mencapai kebebasan dengan pemerintahan demokratik ketika itu, Myanmar berusaha sebaik mungkin untuk membangunkan sektor kreatif termasuk perfileman; khususnya untuk generasi muda mereka.
Namun, setelah rampasan kuasa kembali berlaku tanggal 1 Februari 2022, segala yang telah dibina sejak lebih satu dekad kembali lumpuh. Nasib usaha organisasi-organisasi yang saya kunjungi itu berada dalam kondisi sangat berisiko dan kritikal.

Arkib Filem Kementerian Penerangan.
Selepas kunjungi ke Yangon itu, sepanjang tempoh di bawah pemerintahan junta baharu, saya dapat beberapa kali lagi bertemu Okkar dalam beberapa acara di beberapa negara; seperti di Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Saya juga sempat menjemput beliau menyertai barisan panel bersama beberapa teraju arkib filem serantau dalam acara webinar bersempena World Day for Audiovisual Heritage yang saya anjurkan beberapa tahun lalu.
Okkar aktif berusaha untuk hadir ke pelbagai acara – sebagai platform untuk mendapatkan sokongan dan bantuan untuk memastikan keselamatan koleksi-koleksi yang sebelum ini diselia olehnya itu; setelah kini tidak lagi berada di dalam kawalannya. Dari pertemuan-pertemuan itu juga, saya dapat mengikuti situasi semasa Myanmar yang kini sedang berusaha mencari jalan damai. Ia juga telah membina hubungan kami - lebih dari sekadar dasar profesionalisme – atas nama persahabatan.
Melalui filem, saya mendapat sahabat baik dari sebuah negara yang tidak pernah saya terfikir sebelumnya. Malah lebih dari itu membawa saya untuk lebih mendalami dinamika sebuah negara bernama Myanmar ini.
Diplomasi bukan sekadar urusan di atas meja pemimpin dalam sesi konsultasi rasmi penuh protokol. Ia boleh dimainkan setiap dari kita – dalam pelbagai situasi - termasuklah contohnya dalam ketika kami berkongsi kecintaan yang sama; imejan di layar yang diberi nama filem.
Pada ketika kekacauan geo-ekonomi dan geo-politik dunia yang sedang tegang beberapa bulan-bulan terakhir ini –- kita berkongsi harapan moga sahabat kita di Myanmar akan kembali mencapai kestabilan dan keamanan; sekaligus mampu memain peranan strategik serta melengkapkan keutuhan payung ASEAN.
Kita saling memerlukan.
* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, pembaca boleh layari www.diplomasifilem.com ** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami