INTERNATIONAL
[KOLUMNIS] Apabila pertimbangan ekonomi diutamakan berbanding hak asasi manusia, genosid akan berterusan
Menurut penulis, ada beberapa negara Islam yang walaupun tidak terhutang budi atau bergantung kepada bantuan kewangan dan ketenteraan Amerika, namun mereka bergantung kepada Amerika sebagai pasaran untuk eksport. - Gambar hiasan/DagangNews
DALAM percaturan dunia moden, sikap mengutamakan kepentingan ekonomi berbanding hak asasi manusia telah berulang kali membawa kepada penerimaan pasif di kalangan pemimpin negara-negara di dunia, iaitu keadaan di mana pemimpin-pemimpin ini menerima pelanggaran hak asasi kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa tanpa membantah. Dalam beberapa kes, penerimaan pasif ini membolehkan pelanggaran hak asasi manusia dan kekejaman berlaku dengan aktif, termasuk pembunuhan beramai-ramai atau genosid. Walaupun dunia telah membuat komitmen retorik untuk memastikan peristiwa seperti Holocaust tidak lagi berlaku, realitinya ialah pakatan ekonomi, kebergantungan perdagangan dan pengiraan geopolitik sering kali mengatasi tanggungjawab moral untuk bertindak. Apabila pertimbangan ekonomi diutamakan, kemahuan politik untuk mencegah atau menghentikan pembunuhan beramai-ramai lenyap, dan akibatnya banyak negara secara tidak langsung terlibat dalam jenayah ini secara diam.
Genosid di Rwanda
Satu contoh jelas tentang realiti ini ialah, reaksi masyarakat antarabangsa terhadap pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994. Dalam tempoh tragis tersebut, masyarakat antarabangsa gagal untuk campur tangan secara tegas bagi menghalang kekejaman yang berlaku. Antara puncanya adalah kekurangan kepentingan strategik atau ekonomi bagi kuasa besar di rantau berkenaan. Akibatnya, lebih daripada 800,000 orang kaum Tutsi serta ramai kaum Hutu yang berfahaman sederhana telah dibunuh beramai-ramai oleh pihak pelampau Hutu. Keganasan tersebut menyebabkan krisis kemanusiaan besar yang terus menjejaskan rantau berkenaan sehingga kini. Kegagalan masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan menghentikan keganasan tersebut juga telah mencacatkan reputasi Pasukan Pengaman PBB.
Pencabulan Hak Asasi Manusia Puak Etnik Uighur
Satu lagi contoh pencabulan hak asasi manusia yang berterusan ialah terhadap penduduk Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang di China, yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai pembunuhan beramai-ramai. Walaupun terdapat dokumentasi yang luas mengenai buruh paksa, tahanan beramai-ramai, dan penghapusan budaya, kebanyakan kerajaan dan syarikat tetap teragak-agak untuk mengambil tindakan yang bermakna terhadap kerajaan China. Keengganan ini berpunca daripada kuasa ekonomi China yang luas serta peranan yang kritikal dalam rantaian bekalan global. Sekatan atau boikot berisiko mengganggu perdagangan, menjejaskan keuntungan syarikat multinasional, atau merenggangkan hubungan diplomatik. Akibatnya, kutukan terhadap jenayah kerajaan China seringkala berbentuk simbolik dan bukannya substantif. Inilah yang membolehkan penganiayaan dapat berlaku secara berterusan, dan sebahagian besarnya tanpa dikawal. Beberapa negara Islam, termasuk Malaysia, mengambil sikap berdiam diri dalam isu Uyghur. Dalam kes Malaysia, kemungkinan besar faktor utama adalah hubungan ekonomi negara yang kukuh dengan China. Pada 2023, jumlah eksport Malaysia ke China bernilai AS$79.8 bilion, menjadikan China destinasi utama eksport Malaysia. Pada 2024, Malaysia meluluskan pelaburan sebanyak RM 55.4 bilion (AS$12.5 bilion) dari China, yang menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah keseluruhan. Pada 2023, China disenaraikan antara lima pelabur asing utama Malaysia, kebanyakannya di dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Sebarang pertelingkahan diplomatik dengan China boleh mengakibatkan kesan ekonomi yang negatif untuk negara dan jelas sekali kerajaan Malaysia ingin mengelakkannya daripada berlaku.
Genosid di Palestin
Namun, mungkin contoh yang paling jelas ialah pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza. Sejak Oktober 2023, Israel telah melakukan pengeboman tanpa henti ke atas infrastruktur awam di Gaza, termasuk sekolah, masjid, universiti, hospital dan juga pusat pemindahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tiada tempat yang selamat untuk penduduk Gaza. Lebih 60,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak. Setiap hari, akan ada berita mengenai wanita dan kanak-kanak Palestin yang dibom sehingga berkecai oleh Israel.
Pelbagai pertubuhan dan pakar hak asasi manusia, termasuk sarjana mengenai genosid, telah membuktikan fakta bahawa Israel kini melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik di Gaza. Malangnya, struktur PBB, yang memberikan kuasa veto kepada Amerika Syarikat, salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, telah menyebabkan PBB tidak berdaya sepenuhnya untuk menghalang Israel daripada terus melakukan pengeboman dan pembunuhan di Gaza selagi Amerika Syarikat memutuskan untuk membenarkan Israel untuk berbuat demikian.
Tindakan Yang Boleh dilakukan - Boikot Israel Dan Syarikat Yang Bersekongkol
Bagaimanapun, sebenarnya negara lain masih boleh mengambil tindakan untuk menghukum Israel atas jenayahnya dengan memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel. Boikot global terhadap Israel kini menjadi kewajipan kepada masyarakat antarabangsa. Memandangkan sebelum ini, masyarakat antarabangsa telah memutuskan hubungan dengan Afrika Selatan ketika rejim aparteid berkuasa, maka tidak ada sebab mengapa tindakan yang sama tidak boleh dilakukan terhadap Israel, terutamanya setelah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah pun mengeluarkan waran tangkap untuk dua pegawai kanan Israel, iaitu Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel sekarang, dan bekas Menteri Pertahanan Yoavs Gallant.
Selain itu, kerajaan-kerajaan juga boleh mengambil langkah untuk memutuskan sebarang hubungan perdagangan dengan organisasi yang disenaraikan dalam kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia pada 20 Jun 2024, sebagai terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia di Gaza. Syarikat-syarikat tersebut termasuk BAE Systems, Boeing, Caterpillar, General Dynamics, Lockheed Martin dan Northrop Grumman. Syarikat lain yang tidak disebutkan tetapi diketahui umum bekerjasama dengan Israel termasuk Microsoft, Dell, dan Hewlett-Packard.
Memandangkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia juga telah menyenaraikan beberapa institusi kewangan sebagai menyokong pencabulan hak asasi manusia di Gaza melalui aktiviti pelaburan mereka, maka kerajaan-kerajaan juga boleh memberi amaran kepada syarikat-syarikat tersebut bahawa aktiviti mereka akan disekat pada masa hadapan jika mereka terus melabur dalam syarikat yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.
Kebergantungan kepada Amerika Syarikat
Malangnya, kebanyakan kerajaan, termasuk negara-negara Islam, bukan sahaja tidak mahu memutuskan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Israel, tetapi mereka juga keberatan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang bersekongkol dengan Israel dalam melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin. Jordan dan Mesir contohnya masih bergantung kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk bantuan kewangan dan ketenteraan, manakala beberapa negara lain, seperti Sudan dan beberapa negara Afrika yang lain sangat terhutang budi kepada IMF, sebuah institusi di bawah kawalan Amerika Syarikat.
Kebimbangan Kesan Negatif kepada Eksport
Bagi negara-negara Islam yang lain, walaupun mereka tidak terhutang budi dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan dan ketenteraan Amerika, namun mereka bergantung kepada Amerika sebagai pasaran untuk eksport mereka. Pertimbangan utama mereka ialah kesan negatif kepada perkembangan ekonomi mereka. Banyak negara berasa takut dengan kemarahan Amerika Syarikat jika mereka memboikot Israel atau memboikot syarikat yang bersekongkol dengan Israel. Kebimbangan ini meningkat sejak Donald Trump menjadi presiden Amerika kerana kesediaannya untuk mengenakan tarif punitif ke atas negara yang dianggapnya bertindak bertentangan dengan kepentingan Amerika Syarikat.
Kekurangan reaksi terhadap jenayah genosid sama ada di China atau di Palestin ini menimbulkan cabaran yang mendalam terhadap kredibiliti rangka kerja hak asasi manusia antarabangsa. Jika pragmatisme ekonomi secara konsisten mengatasi kewajipan moral, maka pencegahan jenayah genosid menjadi bersyarat dan terpilih. Untuk membalikkan arah aliran ini, masyarakat antarabangsa mesti mewujudkan dan menguatkuasakan mekanisme yang mengutamakan hak asasi manusia secara bebas daripada keuntungan ekonomi melalui akauntabiliti undang-undang, dasar perdagangan yang telus dan tekanan masyarakat sivil.
Kerajaan-kerajaan juga mesti bersedia untuk mengambil risiko terhadap kemungkinan-kemungkinan berlakunya kesan negatif terhadap ekonomi akibat daripada pendirian mereka menentang rejim genosid dan penyokong regim berkenaan.
Rumusan
Kerajaan-kerajaan di dunia mesti mengutamakan prinsip hak asasi manusia daripada keuntungan ekonomi dan kewangan. Hanya dengan berbuat demikian maka mereka akan dapat menghantar mesej yang jelas bahawa golongan yang lemah tidak boleh dizalimi sewenang-wenangnya dan nyawa mereka juga berharga. Kekurangan kemahuan politik dan tekanan untuk menghadapi rejim genosid serta keengganan untuk melakukan pengorbanan ekonomi untuk menghentikan impunitas regim genosid bermakna kita sedang memberitahu generasi akan datang bahawa dunia hanya sanggup mengutuk pembunuhan beramai-ramai dengan kata-kata sahaja. Namun, apabila ia melibatkan tindakan sebenar untuk menyekatnya, ia bergantung kepada sama ada dompet kita akan terjejas atau tidak.
* Profesor Emeritus Mohd Nazari Ismail ialah Pengarah di Pusat Kajian Palestin Hashim Sani, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.