DUNIA
[KOLUMNIS] Bagaimana konflik Tehran-Tel Aviv menggugat Selat Hormuz?
Penanda merah adalah lokasi Selat Hormuz. - Gambar/ Google My Map
KETEGANGAN antara Tehran dan Tel Aviv kini bukan sekadar isu politik serantau tetapi menjadi ancaman terhadap kestabilan geopolitik global. Konflik dua kuasa ini bukan sahaja mengundang perhatian negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China, tetapi turut menggoncang sebuah laluan strategik yang telah sekian lama menjadi nadi perdagangan minyak dunia iaitu Selat Hormuz.
Ringkasan AI
- Ketegangan antara Iran dan Israel kini menjadi ancaman global, khususnya terhadap kestabilan Selat Hormuz yang merupakan laluan penting eksport minyak dunia, dengan potensi gangguan yang boleh melonjakkan harga minyak dan menggugat ekonomi global.
- Iran menggunakan kedudukan strategik dan ancaman terhadap kebebasan pelayaran sebagai senjata geopolitik, manakala kehadiran tentera laut antarabangsa seperti Amerika Syarikat meningkatkan risiko konflik terbuka di kawasan tersebut.
- Konflik ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara-negara besar, tetapi juga kepada pengguna tenaga di Asia termasuk Malaysia, dengan kemungkinan kenaikan kos hidup akibat ketidakstabilan pasaran tenaga global.
Ketika peluru berpandu balistik dan dron melintasi langit Asia Barat, gema ketegangan itu melantun hingga ke titik sempit antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, tempat berlakunya kira-kira satu perlima eksport minyak mentah dunia. Apabila Iran dan Israel mula saling menyerang secara terbuka, Selat Hormuz tidak lagi menjadi semata-mata laluan maritim, tetapi medan simbolik yang boleh mengheret dunia ke kancah krisis bekalan tenaga global.
Iran memiliki posisi unik dan strategik dalam geopolitik maritim kerana keupayaannya mengawal Selat Hormuz melalui wilayah pesisirnya. Ini menjadikan republik itu bukan sahaja sebuah kuasa politik dan ketenteraan tetapi juga pemegang ‘leverage’ ekonomi terhadap kuasa Barat, ketika konflik dengan Israel memuncak lebih-lebih lagi apabila berlaku serangan terhadap fasiliti diplomatik dan ketenteraan.
Ancaman Iran untuk menyekat atau menggugat kebebasan pelayaran di Selat Hormuz menjadi lebih nyata. Ancaman ini tidak semestinya berbentuk tindakan fizikal secara langsung. Kadangkala cukup dengan satu kenyataan rasmi dari Tehran bahawa "laluan ini boleh ditutup bila-bila masa," sudah cukup untuk melonjakkan harga minyak dunia dan mencetuskan panik di pasaran global di masa hadapan.
Namun, yang lebih membimbangkan bukan hanya potensi tindakan unilateral Iran, tetapi bagaimana dunia akan bertindak balas terhadap sebarang percubaan mengganggu aliran minyak global. Amerika Syarikat, sebagai kuasa dominan dalam memastikan kebebasan pelayaran antarabangsa, memiliki pangkalan dan armada di kawasan Teluk. Kehadiran Tentera Laut Kelima Amerika Syarikat di Bahrain menjadikan Selat Hormuz sebagai kawasan yang sentiasa berada dalam radar ketenteraan Washington.
Sekiranya konflik Tehran-Tel Aviv terus mengancam kestabilan selat ini, maka tidak mustahil akan berlaku peningkatan kehadiran tentera laut antarabangsa. Suatu perkembangan yang bukan sahaja meningkatkan ketegangan, malah membuka ruang kepada kesilapan strategik yang boleh mencetuskan perang lebih besar.
Dari sudut geopolitik global, Selat Hormuz adalah ‘choke point’ yang sama pentingnya dengan Terusan Suez atau Selat Melaka. Namun keunikan Selat Hormuz terletak pada hakikat bahawa sebahagian besar eksport tenaga ke Asia, Eropah dan juga ke Amerika Syarikat sendiri melaluinya. Negara seperti Jepun, Korea Selatan, India dan China sangat bergantung kepada minyak dari Arab Saudi, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kesemuanya melalui selat ini.
Maka sebarang gangguan, baik dalam bentuk ketegangan politik mahupun ketenteraan, akan mencetuskan kesan domino kepada kestabilan ekonomi global. Kenaikan kos logistik, peningkatan insurans maritim, serta penambahan perbelanjaan ketenteraan oleh negara-negara Teluk adalah antara kesan langsung yang dapat dijangkakan.
Lebih menarik, konflik antara Iran dan Israel juga mendedahkan hakikat bagaimana geopolitik tenaga masih menjadi senjata paling ampuh dalam hubungan antarabangsa moden. Walaupun dunia kini giat beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui, hakikatnya minyak dan gas masih merupakan komoditi utama dalam menentukan kekuatan ekonomi dan kestabilan politik sesebuah negara. Maka, Selat Hormuz bukan sekadar lorong sempit perairan, tetapi nadi yang menyambung denyut ekonomi global. Bila-bila masa sahaja nadi ini terganggu, jantung dunia akan mula berdegup laju bukan kerana ancaman fizikal, tetapi kerana kesan psikologi terhadap pasaran dan pelabur.
Israel pula sedar bahawa Iran menggunakan kelebihan geografi dan ketenteraan sebagai perisai dan senjata tawar-menawar. Oleh itu, konflik antara kedua-dua negara ini sering melangkaui sempadan tradisional dan bertukar menjadi konflik proksi, termasuk di Syria, Lubnan, dan juga di Laut Merah.
Kebelakangan ini, dengan meningkatnya kekuatan poros penentang Israel seperti Hezbollah dan Houthi, kemungkinan mereka dijadikan perantara untuk melancarkan serangan terhadap kapal-kapal komersial di kawasan sekitar Teluk juga tidak boleh diketepikan. Senario ini sekali gus menjadikan Selat Hormuz sebagai kawasan risiko tinggi untuk pelayaran, sekaligus menyukarkan operasi logistik antarabangsa.
Realiti hari ini adalah konflik antara Tehran dan Tel Aviv tidak lagi terhad kepada soal ideologi atau keselamatan semata-mata. Ia telah berkembang menjadi krisis yang boleh menyentuh periuk nasi global. Negara-negara pengguna tenaga seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina juga terdedah secara tidak langsung apabila harga bahan api menjadi tidak stabil.
Jika konflik ini berlarutan dan Selat Hormuz menjadi medan konfrontasi, maka kesannya akan terasa hingga ke isi rumah dari harga minyak masak di pasar raya hingga kos tambang pengangkutan awam. Inilah dimensi sebenar geopolitik yang perlu difahami dengan lebih mendalam oleh masyarakat umum bahawa setiap konflik antarabangsa bukan berlaku di ruang kosong, tetapi bersambung melalui jaringan ekonomi, diplomasi dan akses kepada sumber tenaga.
Apa yang sedang kita lihat hari ini ialah pertembungan antara realiti geografi dan hasrat politik. Selat Hormuz bukanlah kawasan yang boleh ditukar-ganti seperti lorong alternatif di lebuh raya. Ia ibarat titik nadir dalam peta dunia di mana keputusan yang dibuat di ruang kabinet Tehran atau Tel Aviv akan menentukan kesejahteraan berjuta-juta manusia di luar medan perang.
Maka, selagi konflik ini tidak menemui jalan damai, selagi itu Selat Hormuz akan terus menjadi medan taruhan terbesar dunia. Bukan sahaja untuk Iran dan Israel, tetapi untuk seluruh manusia yang bergantung pada stabiliti tenaga dan keamanan maritim.
* Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.