DUNIA
[KOLUMNIS] Cita-cita Zionis ‘Greater Israel’ kini jadi kenyataan
![[KOLUMNIS] Cita-cita Zionis ‘Greater Israel’ kini jadi kenyataan [KOLUMNIS] Cita-cita Zionis ‘Greater Israel’ kini jadi kenyataan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/51752581651_tbarabisrael.jpg)
Israel menyiarkan iklan besar yang terpampang di Tel Aviv, menunjukkan ‘kemesraan’ pemimpin Arab dengan Netanyahu dan Trump. - Gambar/ Alkhair Malaysia
PERANG 12 hari antara Israel-Iran menunjukkan wajah sebenar pemimpin Arab terhadap pembelaan ke atas nasib rakyat Palestin yang lebih tujuh dekad dinafikan hak di bumi sendiri.
Isu yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai lambang nasionalisme Arab untuk mengembalikan tanah mereka yang dirampas Zionis hanya menjadi kisah lalu yang jika dicermin pada ketika ini, menjadi sesuatu yang memalukan betapa mudah sebuah perjuangan yang dianggap suatu jihad, dibeli oleh kuasa Barat, khususnya Amerika Syarikat.
Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi presidennya sama ada daripada Republikan atau Demokrat, di belakang mereka adalah para pelobi Zionis yang akan memastikan kepentingan negara Zionis itu akan sentiasa terjamin di bawah pengaruh White House, walhal dalam konteks sumbangan, pembelian persenjataan serta teknologi ia banyak disumbangkan negara Arab/Islam.
Dalam siri lawatan mewah pertamanya ke Negara Teluk selepas dilantik menjadi Presiden AS ke-47 pada Mei lalu, Trump telah berjaya mendapat keyakinan Arab Saudi apabila Putera Mahkota, Mohammed bin Salman bersetuju untuk melabur US$600 bilion yang turut mencakupi pakej kerjasama pertahanan yang dianggarkan berjumlah US$142 bilion, disifatkan White House sebagai perjanjian penjualan terbesar pertahanan dalam sejarah.Qatar yang sebelum ini dilihat sebagai sebuah negara Teluk yang lebih ‘mesra’ dengan perjuangan rakyat Palestin termasuk pemimpin Hamas dilihat tidak melepaskan peluang untuk mengampu AS apabila menghadiahkan Boeing 747-8 untuk dijadikan Air Force One, pesawat rasmi canggih yang digunakan presiden negara itu.
Amirnya, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berkata, perbincangan dengan Trump membuka lembaran baharu terhadap kerjasama strategik yang ada antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang.
Sikap ‘pemurah’ Pak Sheikh’ Arab ini diberikan kepada pelindung Zionis ini ketika mana angka kematian penduduk Gaza yang dibunuh Israel telah pun melebihi 50,000 nyawa!.
Apa yang kelihatan negara Arab berkenaan seakan membayar ‘ufti’ bagi memastikan kuasa politik monarki mereka terus dilindungi dengan membiarkan bangsa sendiri di Palestin dibunuh berterusan.
Berdasarkan agenda pertemuan dan maklumat yang dilaporkan media antarabangsa, tiada satu pun negara yang dilawati Trump membawa suara tegas nasib penduduk di Gaza dan Tebing Barat.
Tidak sampai sebulan lawatan, Tel Aviv telah bertindak menyerang tiga fasiliti nuklear Iran yang boleh dikatakan telah berada dalam pengetahuan Presiden AS.
Ketika undang-undang antarabangsa dicabuli Zionis, tiada satu pun negara Teluk yang menyelar perbuatan itu apatah lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur ugutan kecuali Yaman.
Bahkan negara-negara seperti Arab Saudi, UAE, Jordan dan Qatar telah cuba memintas peluru berpandu yang dilancarkan Iran ketika melepasi ruang mereka ke Israel.
Sama ada Tehran menang atau kalah dalam peperangan 12 hari dengan Tel Aviv, ada isu besar lagi berbahaya yang umat Islam terlepas pandang apabila negara itu menyiarkan iklan besar yang terpampang di Tel Aviv, menunjukkan ‘kemesraan’ pemimpin Arab yang telah berjaya dijinakkan mereka dengan kuasa AS.
The Abraham Alliance yang muncul selepas gencatan senjata dengan Iran menjelaskan segala maksud tersirat dalam membentuk acuan geopolitik di Asia Barat oleh Zionis dan AS.
Slogan ‘It's time for a new Middle East’ menyingkap segala yang tersirat apabila kesemua pemimpin Arab yang berjaya dinormalisasi diangkat sebagai hero termasuk Ahmad Al-Sharaa, Presiden Syria yang baharu dilantik.
Malangnya, iklan yang terpampang tidak meniupkan sebarang sentimen umat Islam walaupun turut terpampang individu akan menjadi Penjaga Dua Tanah Suci.
Apa yang ditonjolkan melalui The Abraham Alliance adalah secara jelas mesej Zionisme terhadap impian mereka selama ini untuk mewujudkan wilayah ‘Greater Israel’.
Menggunakan pengaruh AS, Netanyahu kini sebenarnya telah merealisasi apa yang dicita-citakan Perdana Menteri Pertama Israel iaitu David Ben Gurion, untuk mewujudkan wilayah itu di mana Baitulmaqdis yang kini dinamakan Jeruselem menjadi ibu negara wilayah yang bersempadan Sungai Nil di Mesir dan Sungai Euphrates di Iraq.
Melalui penjenamaan The Abraham Alliance, Netanyahu dan Trump hakikatnya telah berjaya menghidupkan empayar Yahudi di bawah kerangka falsafah kabbalah-haskalah tanpa tentangan keras yang boleh menggugat mereka.
Ia dibuat selepas kesemua pemimpin Arab yang jiwa nasionalisme tinggi telah pun berjaya dilupuskan AS dengan menggunakan alasan demokrasi.
Watak-watak seperti Saddam Hussein, Muammar Gaddafi, Mohammed Morsi dan lain-lain lagi telah dimatikan demi memudahkan Zionis merealisasi cita-citanya.
Di kebanyakan negara yang kini dijinakkan Israel nama-nama pemimpin Hamas yang gugur syahid melawan Zionis seperti Sheikh Ahmed Yassin, Abdul Aziz Al-Rantisi, Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar dan ramai lagi menjadi satu stigma bahkan dilarang disebut secara terbuka.
Di sebalik segala perancangan jahat ini, perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka tidak pernah pudar dan nampak akan berakhir.
Pembunuhan besar-besaran sejak lebih 20 bulan lalu, membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap cita-cita jahat Zionis untuk menguasai dunia.
Walau Gaza telah punah dan musnah bersama pemimpin Arab tidak boleh diharap tetapi suara yang membela mereka semakin lantang di pelusuk dunia khususnya di Barat.
“From the river to the sea...
Palestine will be Free”.
*Artikel ini ditulis oleh Razali Awang, Perunding Media Alkhair Malaysia. ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami