[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

[KOLUMNIS] Dunia di ambang ketidakstabilan: Dari konflik serantau membawa kesan global

Kolumnis AWANI 15/07/2025 | 08:00 MYT
Konflik antara Iran dan Israel, dua kuasa serantau dengan ideologi dan kepentingan yang bertentangan, sebelum ini menghampiri ambang pertembungan berskala besar. - Gambar fail/ AP
DUNIA sekali lagi tertumpu kepada peningkatan ketegangan yang membawa maut di Asia Barat. Konflik antara Iran dan Israel, dua kuasa serantau dengan ideologi dan kepentingan yang bertentangan, sebelum ini menghampiri ambang pertembungan berskala besar. Ketegangan ini bukan sekadar pertempuran ketenteraan, tetapi merupakan kesinambungan perang proksi yang telah mencetuskan huru-hara dari Syria ke Gaza, dari Yaman ke Lubnan. Jika tidak diselesaikan secara diplomatik, dunia harus bersedia menghadapi era baharu ketidakstabilan global.

Ketegangan berterusan: Dari Konflik Serantau kepada Kesan Global

Konflik Iran-Israel bukan sekadar pertikaian dua negara, tetapi menjadi pusat kepada dinamik geopolitik yang lebih luas. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China turut terlibat secara langsung atau tidak langsung. Sebelum Revolusi Islam Iran 1979, kedua-dua negara pernah menjalin hubungan strategik, terutamanya dalam bidang keselamatan dan tenaga. Namun, selepas revolusi, Iran menempatkan dirinya sebagai penentang kepada pengaruh Barat dan Zionisme global.

Israel pula, dengan sokongan kuat Amerika Syarikat, melihat Iran sebagai ancaman yang nyata, terutamanya kerana program nuklear Tehran dan sokongan kepada kumpulan seperti Hizbullah, Hamas dan Houthi. Ini mencetuskan dilema keselamatan: Iran melihat Israel sebagai ancaman kepada kedaulatan wilayah, manakala Israel pula gusar melihat Iran sebagai ancaman kepada kelangsungan ‘negaranya’.

Nuklear dan Naratif Ancaman

Tuduhan Israel dan Amerika Syarikat terhadap pembangunan senjata nuklear Iran masih menjadi pertikaian. Menurut laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Mei 2025, Iran memiliki lebih 400 kilogram uranium yang diperkaya sehingga 60% - paras yang hampir kepada tahap senjata. Namun, Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan awam dan menolak dakwaan bahawa ia sedang membangunkan senjata nuklear.

Serangan udara Israel telah dilancarkan ke atas tapak strategik Iran pada 13 Jun 2025, yang dikenali sebagai Operation Rising Lion. Seminggu kemudain, ia disusuli dengan serangan Amerika Syarikat ke atas tiga tapak nuklear utama Iran; iaitu pada 22 Jun 2025. Walaupun Presiden Trump mendakwa serangan itu telah “menghapuskan sepenuhnya” keupayaan nuklear Iran, namun laporan awal dari Pentagon menyatakan bahawa kerosakang berlaku sekadar menangguhkan program tersebut selama satu hingga dua tahun.

Iran pula bertindak balas dengan melancarkan lebih 500 peluru berpandu ke arah Israel dan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar. Menariknya, serangan itu didahului dengan pemberitahuan awal kepada Washington - satu langkah diplomatik yang dilihat sebagai usaha mengelak korban besar dan pemusnahan sepenuhnya.

Normalisasi Diplomatik vs Penentangan Proksi

Kita kini menyaksikan dua arus geopolitik yang bersaing. Di satu pihak, Axis of Resistance yang dipimpin oleh Iran terus mengukuhkan pengaruhnya melalui proksi seperti Hizbullah, Hamas, dan Houthi. Di pihak lain, negara-negara Arab seperti UAE, Bahrain dan Arab Saudi semakin mendekati Israel melalui Perjanjian Abraham dan normalisasi diplomatik.

Hubungan yang semakin erat dengan Israel melalui Perjanjian Abraham dan usaha normalisasi diplomatik menimbulkan persoalan yang wajar: Kestabilan untuk siapa?

Di sebalik retorik diplomatik, rakyat Palestin terus hidup dalam penderitaan akibat sekatan dan penjajahan. Syria pula hancur dilanda perang proksi, manakala Yaman tenggelam dalam krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Apabila kuasa-kuasa besar berbicara tentang 'kepentingan strategik', kehidupan rakyat biasa sering kali hanya menjadi angka dalam laporan, hakikatnya terpinggir daripada perhatian dunia.

Diplomasi atau Perang ?

Diplomasi, dialog antara agama, pengukuhan institusi antarabangsa dan tekanan awam diperingkat global adalah laluan yang mesti diperkukuh. Dunia tidak boleh tunduk kepada logik ketenteraan yang membutakan hati nurani. Seperti yang pernah dikatakan oleh Carl Von Clausewitz dalam bukunya; On War tahun 1837 “Perang bukanlah tujuan itu sendiri, tetapi cara untuk mencapai matlamat politik. Jika matlamat itu gagal dicapai melalui diplomasi, maka perang mencerminkan kegagalan strategi politik.”

Rencana ini bukan sekadar analisis tentang konflik, tetapi satu seruan jelas untuk mengukuhkan jalan menuju damai. Dunia kini berdiri di ambang persimpangan sejarah —sama ada kuasa-kuasa besar memilih diplomasi sebagai jalan penyelesaian, atau membiarkan senjata menjadi penentu nasib masa depan.

Pilihan ini bukan sekadar membentuk perjalanan generasi akan datang, malah menentu arah martabat kemanusiaan yang berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa. Masa depan bukan milik senjata, tetapi milik jiwa yang hidup dengan harapan dan keadilan."


* Artikel ini ditulis oleh Akhmad Fauzan Hadrian, Calon Sarjana Komunikasi (Komunikasi Politik), Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Rahmahtunnisah Sailin, Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






#krisis geopolitik #Konflik Iran-Israel #perang proksi #Genosid Gaza