[KOLUMNIS] Gencatan senjata di Gaza: Wayang atau sebaliknya?
![[KOLUMNIS] Gencatan senjata di Gaza: Wayang atau sebaliknya? [KOLUMNIS] Gencatan senjata di Gaza: Wayang atau sebaliknya?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/41761566067_tbGazaCity.jpg)
Imej dron bertarikh Oktober 25 ini, memaparkan keadaan sebuah penempatan di Gaza selepas gencatan senjata antara Hamas dan Israel. - Foto REUTERS/Dawoud Abu Alkas
SELEPAS tiga minggu usaha yang dibuat Mesir, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dengan arahan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, impak gencatan senjata antara Hamas dan Israel sejak 10 Oktober lalu tidak memberi kesan yang seperti yang diharapkan.
Ringkasan AI
- Gencatan senjata antara Hamas dan Israel sejak 10 Oktober lalu tidak memberi kesan positif seperti yang diharapkan, dengan pengeboman dan serangan terus berlaku, menyebabkan kematian melebihi 100 nyawa serta keperluan bantuan kemanusiaan yang tidak terpenuhi.
- Negara Arab seperti Mesir, Jordan, UAE, dan Arab Saudi menekankan syarat tertentu sebelum menghantar bantuan ke Gaza, termasuk penyelesaian politik dan pengawasan terhadap Hamas, serta pengagihan bantuan melalui agensi PBB.
- Meskipun Hamas mengendurkan tuntutan dan banyak perkara telah disepakati melalui gencatan senjata, penghalangan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza masih berlaku, menyebabkan penolakan bantuan keperluan asas dan pengecualian terhadap barang mewah yang tidak diperlukan.
Ia secara jelas menggambarkan yang tekanan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan gencatan senjata masih belum ampuh untuk menghentikan genosid dan kelaparan ke atas wilayah berkenaan.
Bahkan dalam kalangan negara Arab yang mengusahakan gencatan senjata turut menetapkan syarat untuk membolehkan bantuan kemanusiaan ke sana.
Daripada 600 trak bantuan kemanusiaan yang ditetapkan sehari pada perjanjian bulan lalu, jumlah yang dibawa masuk masih kecil dengan nisbah keperluan.
Berdasrkan maklumat Pejabat Media Kerajaan Gaza, antara 10 Oktober hingga 31 Oktober 2025, sejumlah 3,203 trak komersial dan bantuan yang memasukinya yang mana daripada jumlah itu, 2,564 daripadanya adalah trak bantuan.
Ia bermakna dalam tempoh berkenaan, hanya 234 trak bantuan kemanusiaan telah dihantar ke wilayah itu, tidak sampai separuh daripada jumlah yang ditetapkan untuk tempoh 60 hari sepanjang gencatan senjata berlangsung.
Kekangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor walaupun simpati daripada seluruh dunia masih berkisah di sana.
Mesir. misalnya, yang menjadi satu-satunya negara Islam yang berkongsi sempadan dengan wilayah berkenaan melalui lintasan Rafah sering menegaskan bahawa sebarang penghantaran besar-besaran bantuan mesti disertai dengan jaminan keselamatan dan pengawasan antarabangsa, termasuk pengawalan terhadap Hamas.

Beginilah keadaan terbaharu di bandar Gaza.
Beberapa kenyataan rasmi menunjukkan bahawa Mesir mahu Hamas berhenti melancarkan serangan roket dan menerima proses politik.
Begitu juga dengan Jordan yang banyak menghantar bantuan perubatan dan udara ke Gaza, berterusan menegaskan pendirian penyelesaian dua negara dan penamatan keganasan oleh semua pihak, termasuk Hamas.
Beberapa kenyataan rasmi Amman menekankan bahawa ia perlu tunduk kepada kerangka damai yang sah di peringkat antarabangsa.
Turut sama, UAE dan Arab Saudi yang ini mengambil pendekatan berhati-hati dengan menegaskan bahawa bantuan mesti diagihkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bukan terus melalui Hamas.
Bahkan sebelum ini, dalam beberapa kenyataan diplomatik, UAE dan Saudi menyokong gencatan senjata sepenuhnya dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata sebagai syarat kestabilan Gaza.
Sekiranya dianalisis sejak 10 Oktober lalu, Hamas telah banyak mengendurkan tuntutannya sejak perang bermula pada dua tahun lalu.
Melalui 20 perkara yang disepakati, banyak perkara telah diketepikan kumpulan itu bagi memastikan penduduk wilayah yang ditadbirnya mendapat semula nilai dan layanan dan kemanusiaan untuk terus hidup di tanah air sendiri.
APA JADI HAMPIR 30 HARI SELEPAS GENCATAN SENJATA?
Kini selepas hampir sebulan gencatan senjata, naratif mengenai 'azab yang tidak berkesudahan' masih kurang mendapat perhatian.
Di negara ini sendiri, di pentas-pentas terbuka banyak jelajah jalanan mengenai misi Global Sumud Flotilla (GSF), satu misi yang berjaya memecahkan kebisuan pemimpin dunia terhadap nasib penduduk Gaza yang disembelih dan dibiar mati kelaparan oleh rejim pengganas Zionis.
Malangya, pengkisahan lebih kepada pengalaman individu yang meredah lautan dengan macam-macam cerita wal hal keadaan mutakhir dengan debaran semakin kencang kerana tempoh gencatan senjata semakin hampir tamat.
Semangat ‘sumud’ seakan tenggelam dengan wayang yang dimainkan rejim Zionis dan sekutunya mengenai konvoi bantuan kemanusiaan memasuki bumi Gaza.
Memetik laporan Islamic Relief melalui surat terbuka oleh 41 organisasi bantuan menyatakan bahawa antara 10 dan 21 Oktober, 99 permohonan bantuan oleh NGO antarabangsa ditolak oleh rejim pengganas Zionis dan enam oleh agensi PBB.
Khemah, selimut, makanan dan kelengkapan perubatan dan kebersihan masih lagi dihalang tetapi barang yang tidak menjadi keperluan dibenarkan.
Bayangkan barang mewah yang tidak diperlukan seperti iPhone 17 yang dihasilkan konco Israel dibawa masuk tetapi paku yang menjadi asas untuk membina penempatan sementara tidak dibenarkan!
Semua mata sepatutnya kini tertumpu kepada mencari penyelesaian membawa masuk seberapa banyak barang yang diperlukan.
Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, “kita robohkan tembok Rafah”... !
* Penulis ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah impak gencatan senjata antara Hamas dan Israel sejak 10 Oktober lalu? A: Gencatan senjata hanya berlaku pada pihak Hamas sahaja, sementara serangan terus berterusan dari pihak Zionis ke Gaza dengan lebih 300 pelanggaran dan melebihi 100 kematian.
- Q: Berapakah jumlah trak bantuan kemanusiaan yang berjaya dihantar ke wilayah Gaza antara 10 Oktober hingga 31 Oktober 2025? A: Dari 3,203 trak komersial dan bantuan yang sepatutnya masuk, hanya 234 trak bantuan kemanusiaan yang berjaya dihantar, tidak mencapai separuh jumlah yang ditetapkan untuk tempoh 60 hari sepanjang gencatan senjata berlangsung.
- Q: Apakah syarat yang ditetapkan oleh beberapa negara Arab untuk penghantaran bantuan ke Gaza? A: Negara seperti Mesir menuntut jaminan keselamatan dan pengawasan antarabangsa serta penghentian serangan roket oleh Hamas, manakala Jordan menegaskan penyelesaian dua negara dan penamatan keganasan oleh semua pihak, termasuk Hamas. UAE dan Arab Saudi pula menekankan bantuan mesti diagihkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), bukan langsung melalui Hamas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

