[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

[KOLUMNIS] Niat sebenar Trump adalah ingin ‘jajah’ Iran

Kolumnis AWANI 23/06/2025 | 14:07 MYT
Ia sekali lagi menggambarkan nafsu serakah presiden ke-45 dan ke-47 negara itu yang tidak pernah puas mencampuri urusan dalam negara lain, sama seperti kepimpinan sebelum ini. - Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) menjanjikan perubahan kepimpinan Iran akan menjadikan negara itu hebat semula.
Menerusi kenyataan yang dibuat beliau di platfrom media sosial Truth Social, beliau bermain bahasa bahawa serangan ke atas republik Islam itu bukannya pertukaran rejim, tetapi usahanya untuk menjadikan kepimpinan negara itu hebat semula dengan digantikan yang baharu.
Menggunakan akronim MIGA (Make Iran Great Again), Trump sebenarnya tidak lagi berselindung kebenciannya terhadap kepimpinan Syiah yang menjadi ancaman kepada pengaruhnya dan keselamatan Israel di Asia Barat.
Kenyataan itu dikongsi tidak lama selepas pegawai-pegawai AS menegaskan bahawa serangan ke atas tapak nuklear Iran bukan bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Tehran.
Ia dijelaskan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth dalam sidang media di Pentagon yang menjelaskan misi pengebomban ke atas fasiliti nuklear di Fordow, Natanz dan Isfahan tidak mempunyai kaitan dengan perubahan rejim.
Menerusi kenyataan yang dibuat Trump semalam, ia sekali lagi menggambarkan ‘nafsu serakah’ presiden ke-45 dan ke-47 negara itu yang tidak pernah puas mencampuri urusan dalam negara lain, sama seperti kepimpinan sebelum ini.
Sama ada presiden yang dipilih daripada Demokrat atau Republikan, acuan dan legasinya sama, iaitu menjaga kepentingan Yahudi dan Zionis.
Perang terkini antara Israel dengan Iran sejak 12 Jun lalu, bagi Trump dan sekutunya telah membuka satu lagi peluang besar untuk menjatuhkan satu-satu negara berpengaruh di Asia Barat supaya tunduk dengan kehendaknya.
Fasiliti dan senjata nuklear telah dijadikan isu, alasan yang ada sama seperti yang dibuat ke atas Iraq lebih dua dekad lalu di mana mendakwa Presiden Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar (WMD) dan kemudian dijatuhkan sehingga digantung mati pada 2006.
AS berjaya menguasai Iraq, tetapi kerajaan yang ditajanya bukan menjadikan negara itu lebih baik tetapi hampir musnah dan berterusan lemah.
Kerajaan yang ada pada hari ini terlalu rapuh dan masih berada dalam keadaan terancam dengan pelbagai masalah walaupun lebih 20 tahun Saddam disingkir.
Nasib yang serupa turut menimpa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, yang dibunuh rakyat sendiri pada 2011 hasil daripada porak-peranda yang dicetuskan AS dan Barat, yang menjaja isu hak kebebasan dan demokrasi melalui Arab Springs.
Rakyat negara Afrika Utara itu termakan dengan hasutan dan bangkit di jalanan untuk menentang kerajaan yang ditadbirnya lebih 40 tahun.
Kini selepas dua dekad, nikmat sistem sosial yang dilaksana Gaddafi tingal kenangan ‘terindah’ sebahagian besar penduduk Libya.
Mereka yang termakan dakyah dan racun AS serta sekutunya ibarat menerima karma, keadaan menjadi kucar-kacir, huru-hara dan bercelaru.
Sama juga dengan di Mesir, apabila penduduknya menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak dan menaikkan Mohammed Morsi, White House bermain wayang sehingga beliau disingkir dan dijatuhi hukuman mati.
Rampasan kuasa pada 3 Julai 2014 yang diketuai oleh pakatan ketua tentera Mesir Abdel Fattah el-Sisi bagi mengulingkan beliau serta menggantung Perlembagaan Mesir.
Perkara itu direstui kerana fikrah Morsi adalah berteraskan Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang dibenci pentadbiran AS dan Israel.
Beribu nyawa penduduk Mesir yang mati mempertahankan presiden yang dipilih melalui proses pilihan raya tidak dilihat sebagai satu isu besar, kerana Sisi bagi AS dan Barat menjadi jaminan terhadap kelangsungan negara haram Israel.
Sentimen Arab Spring juga telah membawa Syria ke kancah perang saudara sehingga mengorban hampir sejuta penduduknya tetapi dibiarkan kerana antara kumpulan yang mencetuskan ketidakstabilan adalah Islamic State (IS), sebuah pertubuhan yang ditaja CIA bagi tujuan mencetuskan huru hara atas nama agama.
Dalam kemelut hampir 14 tahun, rakyat Syria tidak dibela dan sama sekali ia tidak menjadi agenda besar ‘kemanusiaan’ negara yang mendakwa menjadi polis dunia kerana konflik yang berlaku memberi kelebihan kepada Israel di mana Syria tidak lagi menjadi ancaman besar.
AS dan sekutu Baratnya akan menggunakan apa sahaja cerita bagi menjaga kepentingannya dan Zionis kerana kawasan Asia Barat menjadi lubuk minyak dunia.
Pemimpin Arab sampai ke sudah lupa dengan pesanan Muammar Gadafi pada perhimpunan Liga Arab 2011 yang mereka semua akan terima nasib yang sama seperti Saddam Hussein dan ketika ini perkara yang sama sedang berulang.
Di mata mereka, AS dan sekutunya kuasa dunia yang perlu diampu untuk terus berkuasa hatta ke tahap membelakangkan agama dan hak manusia.
Selepas Iran, negara mana lagi?

* Oleh Razali Awang, Perunding Media, Alkhair Malaysia
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#konflik #Iran #Amerika Syarikat #Israel #Zionis #Donald Trump #penjajahan