DUNIA

[KOLUMNIS] Pakatan Arab Saudi, UAE di Yaman semakin retak

Astro Awani 31/12/2025 | 09:30 MYT
Arahan ketenteraan Arab Saudi di Mukalla, Yaman menunjukkan ketegangan di antara Riyadh dan Abu Dhabi dalam hubungan strategik mereka. -Gambar fail/Reuters
SERANGAN udara Arab Saudi ke atas pelabuhan Mukalla di Hadramout, tenggara Yaman, bukan sekadar satu episod ketenteraan dalam konflik yang telah berlarutan lebih sedekad.


Ringkasan AI
  • Arahan ketenteraan Arab Saudi di Mukalla, Yaman, menunjukkan ketegangan di antara Riyadh dan Abu Dhabi dalam hubungan strategik mereka.
  • Arab Saudi menekankan kepentingan keselamatan nasional dengan memastikan kestabilan di Yemen, sementara UAE lebih tumpuan kepada aspek ekonomi dan strategik, termasuk pengaruh di selatan negara itu.
  • Persaingan kuasa serantau dan antarabangsa di Yaman menimbulkan kesan kompleks terhadap keselamatan serantau, dan rakyat Yaman terus menderita dalam krisis kemanusiaan yang teruk.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Ia menjadi isyarat jelas bahawa hubungan strategik di antara Riyadh dan Abu Dhabi yang selama ini dipersembahkan sebagai pakatan kukuh demi kestabilan Asia Barat, kini semakin sarat dengan percanggahan kepentingan.

Sejak campur tangan ketenteraan dilancarkan pada 2015, Arab Saudi dan United Arab Emirates (UAE) tampil sebagai sekutu utama dalam perang Yemen.

Naratif rasmi yang diketengahkan adalah memerangi kumpulan Houthi, mengekang keganasan dan memulihkan kestabilan demi keselamatan serantau.

Namun, perkembangan mutakhir pada 28 Disember lalu yang meragut nyawa 12 tentera UAE dan mencederakan lebih 30 yang lain, mendedahkan hakikat bahawa pakatan yang dibina atas asas pragmatisme, bukan kesepakatan strategik jangka panjang.

Bagi Arab Saudi, Yaman bukan sekadar negara jiran yang bergolak. Ia merupakan sebuah buffer state yang amat penting untuk keselamatan nasional.

Riyadh berkepentingan memastikan Yaman kekal sebagai sebuah negara bersatu di bawah satu kerajaan pusat yang berfungsi, bagi mengelakkan ancaman berpanjangan di sempadan selatannya.

Atas logik itu, Arab Saudi terlibat secara mendalam dalam konflik Yaman, termasuk menyokong usaha mengekang pengaruh Iran yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi. UAE pula melihat Yaman melalui lensa yang berbeza.

Abu Dhabi lebih menumpukan kepada kepentingan ekonomi dan strategik, khususnya penguasaan pelabuhan, laluan maritim dan titik-titik kritikal perdagangan di sepanjang Teluk Aden dan Laut Arab.

Sokongannya terhadap Southern Transitional Council (STC) sebuah entiti yang menuntut autonomi luas atau pemisahan selatan Yaman yang mencerminkan pendekatan berkenaan. Baginya, pengaruh di selatan negara itu memberi nilai strategik yang sukar ditandingi.

Percanggahan dua pendekatan ini akhirnya menjadi semakin ketara apabila sekutu UAE mula mengembangkan pengaruh ke wilayah strategik dan kaya sumber seperti Hadramout.

Bagi Riyadh, langkah sedemikian bukan sahaja mencabar kerajaan pusat Yaman, malah mengancam visi besarnya untuk mengekalkannya sebagai sebuah negara bersatu.

Dalam konteks inilah, tindakan ketenteraan Arab Saudi di Mukalla perlu difahami sebagai mesej tegas bahawa terdapat garisan merah yang tidak akan dikompromikan, walaupun melibatkan rakan pakatan sendiri.

Keretakan ini berlaku pada saat persekitaran keselamatan serantau semakin rapuh, khususnya di sekitar pintu masuk Laut Merah yang menjadi salah satu nadi perdagangan global.

Persaingan pengaruh antara kuasa serantau dan antarabangsa telah menjadikan Yaman medan pertarungan geopolitik yang kompleks dan berlapis.

Setiap eskalasi baharu bukan sahaja menambah kekusutan politik, malah menyulitkan lagi usaha ke arah penyelesaian damai.

Walaupun UAE dilihat cuba meredakan ketegangan dengan menarik keluar sebahagian tenteranya dari selatan Yaman, realitinya pengaruh Abu Dhabi masih kukuh melalui sekutu tempatan dan kumpulan bersenjata yang setia kepadanya.

Keadaan ini mengekalkan konflik dalam bentuk yang lebih senyap, tetapi tidak kurang berbahaya.

Amerika Syarikat pula memilih pendekatan diplomasi, menyeru semua pihak supaya menahan diri. Washington sedar bahawa keretakan serius di antara Arab Saudi dan UAE bukan sahaja mengganggu kestabilan rantau Teluk, malah boleh memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global yang masih rapuh.

Setiausaha Negara, Marco Rubio, memaklumkan telah mengadakan perbualan dengan menteri luar negara berkenaan berhubung ketegangan yang berlaku manakala Qatar pula menegaskan bahawa keselamatan Arab Saudi dan negara-negara Teluk lain “merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan” daripada keselamatannya sendiri.

Namun, di sebalik semua percaturan geopolitik ini, realiti paling pahit tetap ditanggung oleh rakyat Yaman.

Mereka terus hidup dalam krisis kemanusiaan yang disifatkan antara paling teruk di dunia yang berdepan kekurangan makanan, kemusnahan infrastruktur dan sistem kesihatan yang hampir lumpuh.

Selagi Yaman terus menjadi papan catur kuasa serantau, selagi itulah penderitaan rakyatnya kekal berpanjangan.



Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.










Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah isyarat jelas yang ditunjukkan oleh serangan udara Arab Saudi ke atas pelabuhan Mukalla di Hadramout, Yaman?
    A: Serangan itu menunjukkan ketegangan dan percanggahan kepentingan antara Arab Saudi dan UAE dalam konflik di Yaman.
  • Q: Mengapakah Arab Saudi dan UAE sebelum ini dilihat sebagai sekutu utama dalam perang di Yaman?
    A: Kedua-dua negara bersatu dalam usaha memerangi kumpulan Houthi, mengekang keganasan, dan memulihkan kestabilan di Yaman.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh UAE yang menyebabkan ketegangan dengan Arab Saudi?
    A: UAE menyokong Southern Transitional Council (STC) yang menuntut autonomi atau pemisahan selatan Yaman, menyebabkan ketegangan dengan Arab Saudi yang ingin memastikan kestabilan negara bersatu di bawah kerajaan pusat.
  • Q: Apakah kesan keretakan antara Arab Saudi dan UAE terhadap keselamatan serantau?
    A: Keretakan ini menyebabkan keselamatan serantau semakin rapuh, terutamanya di sekitar pintu masuk Laut Merah yang penting bagi perdagangan global.
  • Q: Bagaimanakah keadaan kemanusiaan rakyat Yaman dipengaruhi oleh persaingan geopolitik di negara mereka?
    A: Rakyat Yaman terus menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk, termasuk kekurangan makanan, kemusnahan infrastruktur, dan sistem kesihatan yang terjejas, disebabkan oleh persaingan geopolitik di negara mereka.



#Arab Saudi #Yaman #UAE #pelabuhan Mukalla