[KOLUMNIS] Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB: Realiti pelan damai Gaza dan peranan strategik Malaysia
![[KOLUMNIS] Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB: Realiti pelan damai Gaza dan peranan strategik Malaysia [KOLUMNIS] Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB: Realiti pelan damai Gaza dan peranan strategik Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763524929_UnitedNations.jpg)
Duta AS ke PBB Michael Waltz berucap pada mesyuarat UNSC membincangkan cadangan AS berhubung mandat PBB untuk pembentukan ISF di Gaza, di ibu pejabat PBB, New York City, Nov 17, 2025. REUTERS
KEPUTUSAN Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan Resolusi 2803 pada 17 November 2025 menandakan perubahan besar dalam pendekatan global terhadap Gaza.
Ringkasan AI
- Keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan Resolusi 2803 pada 17 November 2025 menawarkan struktur baharu untuk mengakhiri genosid di Gaza.
- Pelaksanaan resolusi ini melibatkan Board of Peace (BoP), International Stabilization Force (ISF), dan proses peralihan kuasa kepada entiti Palestin yang dipantau antarabangsa.
- Malaysia memiliki peluang diplomatik yang unik untuk menyokong Gaza di peringkat pentadbiran dan menyumbang kepakaran teknikal serta kemanusiaan melalui pasukan perubatan tentera.
Sokongan terhadap resolusi ini datang daripada negara yang melihat pelan damai ini sebagai peluang mengurangkan keganasan Israel dan membuka ruang laluan selamat untuk bantuan kemanusiaan. Bagi penyokongnya, Gaza memerlukan satu bentuk intervensi antarabangsa yang neutral bagi mengelakkan lebih banyak korban awam. Di samping itu, resolusi ini juga memberi peluang kepada PBB untuk mendapatkan semula kredibiliti setelah dua tahun dilihat gagal bertindak dengan tegas terhadap pengeboman dan sekatan yang menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden wilayah itu.
Namun pelan ini tidak terlepas daripada kritikan mendalam. Sebahagian sarjana berpendapat bahawa ia terlalu dipengaruhi kepentingan geopolitik Amerika Syarikat. Ada juga yang melihat Board of Peace sebagai bentuk pentadbiran luar yang boleh mengekalkan kawalan terhadap Gaza tanpa memberikan kebebasan politik sebenar kepada rakyat Palestin. Kritikan paling kuat datang daripada pihak yang menyatakan pelan ini gagal menyentuh akar konflik, iaitu penjajahan dan genosid Israel. Tanpa penamatan penjajahan dan siasatan jenayah genosid ini, pelaksanaan apa-apa pelan damai hanya menguruskan simptom tetapi tidak menyembuhkan penyakit yang sebenar.
Dalam konteks Malaysia, Resolusi 2803 mencipta peluang diplomatik yang boleh mengangkat nama negara di persada antarabangsa. Malaysia merupakan antara negara yang paling konsisten menyokong Palestin dalam semua platform sama ada di PBB, OIC, NAM atau ASEAN. Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menjadikan negara ini bebas daripada tekanan geopolitik dan lebih dipercayai oleh rakyat Palestin. Sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin juga kukuh, menjadikan dasar luar Malaysia berlandaskan mandat moral yang jelas.
Malaysia mempunyai kelebihan unik yang jarang dimiliki negara lain, iaitu pengalaman lapangan yang mendalam di Gaza. NGO Malaysia seperti MyCARE, Mercy Malaysia, MAPIM dan Viva Palestina Malaysia telah lama beroperasi di Gaza. Malah penyertaan rakyat Malaysia dalam misi Freedom Flotilla dan Sumud Flotilla menunjukkan komitmen Malaysia bukan sekadar retorik diplomatik tetapi usaha kemanusiaan sebenar yang berisiko tinggi. Hubungan akar umbi ini memberikan Malaysia kelebihan moral untuk terlibat dalam usaha pemulihan Gaza secara bermakna.
Dalam pelaksanaan pelan damai ini, Malaysia boleh memainkan peranan dalam dua dimensi utama. Pertama, pada peringkat pentadbiran, Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada Board of Peace melalui jawatankuasa berkaitan pemulihan kemanusiaan, perlindungan awam dan dokumentasi jenayah perang. Kehadiran Malaysia boleh memastikan pelan pemulihan Gaza tidak tergelincir daripada kerangka undang-undang antarabangsa dan tidak menjadi medan percaturan kuasa besar.
Kedua, Malaysia boleh menyumbang kepakaran teknikal dan kemanusiaan melalui pasukan perubatan tentera, kor kejuruteraan, serta latihan kepolisan komuniti. Malaysia mempunyai rekod kukuh dalam misi pengaman PBB seperti di Bosnia, Lubnan, Congo dan Somalia sekali gus membolehkan negara memainkan peranan bukan tempur yang amat diperlukan dalam konteks pemulihan Gaza.
Dari sudut strategik, penglibatan Malaysia memperkukuhkan kedudukan negara sebagai suara utama Global South dalam isu Palestin. Ia juga membuktikan bahawa negara kecil seperti Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam mengimbangi pengaruh kuasa besar. Dalam masa yang sama, penglibatan Malaysia turut selari dengan aspirasi rakyat Malaysia yang menginginkan negara terus berada pada barisan hadapan dalam memperjuangkan hak kemanusiaan Palestin.
Kesimpulannya, Resolusi 2803 bukanlah penyelesaian sempurna, namun ia membuka ruang baharu yang sebelum ini tertutup. Kejayaan pelan damai ini bergantung kepada komitmen antarabangsa dan kemampuan memastikan ia tidak menjadi sekadar wajah baharu kepada struktur penjajahan lama. Malaysia, dengan kredibiliti moral dan pengalaman lapangan, mempunyai peluang besar menjadi suara keadilan dan penjaga prinsip dalam memastikan pelan damai ini benar-benar membawa perubahan positif kepada rakyat Gaza dan membuka laluan kepada pembentukan negara Palestin yang merdeka.
* Dr Mohd Afandi Salleh adalah Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin, bekas tahanan Israel pada tahun 2017 dan 2025 dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


