TERKEJUT saya selepas membaca satu artikel dari negara jiran yang bertajuk: “Teksi Tanpa Pemandu Bakal Merajai Jalanan China, Kiamat Pemandu Tiba”.
Pada mulanya saya tidak berapa pasti apa yang dimaksudkan dengan “kiamat pemandu tiba”, tetapi setelah selesai membaca, baru saya faham kebimbangan yang disuarakan.
Baru-baru ini, saya berkesempatan mengunjungi wilayah Guangdong. Lebih tepat lagi, bandar Guangzhou dan Shenzhen untuk mendapatkan gambaran terkini tentang teknologi tinggi seperti kereta terbang, perkhidmatan penghantaran dron dan robotaxi.
Tidak kurang juga, saya berkesempatan menambah pengetahuan mengenai tradisi tempatan seperti budaya Yum Cha dan seni Teh Guangfu. Kisah teh itu, saya simpan untuk kemudian.
Kereta terbang, teksi tanpa pemandu dan penghantaran dron
Terlebih dahulu, saya nak berkongsi pengalaman melihat sendiri perkembangan industri kereta terbang eVTOL yang dahulunya hanya imaginasi dalam filem fiksyen “Back to the Future”, kini menjadi realiti tekno-ekonomi.
Di bilik pameran XPeng di Guangzhou, saya mendapat maklumat bahawa usaha pembangunan kereta terbang ini bermula seawal 2013.
Daripada kajian teknologi, pelaburan berterusan, dan kerjasama strategik antarabangsa termasuk perjanjian dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Ras Al Khaimah pada 2025 — syarikat ini telah mendapat permit khas dari UAE.
Dari Guangzhou ke Shenzhen, saya kemudian berpeluang merasai pengalaman menaiki robotaxi.
Pada awalnya memang timbul rasa ingin tahu bercampur keraguan. Tetapi setelah menaiki teksi tanpa pemandu melalui perkhidmatan Pony.ai, segala-galanya berubah. Soal keselamatan diutamakan kerana ia dikawal oleh sistem AI bagi memastikan perjalanan teratur dan terkawal.
Robotaxi sudah beroperasi di beberapa bandar seperti Beijing, Guangzhou, dan Chongqing, malah mula menembusi pasaran antarabangsa seperti Dubai dan Abu Dhabi.
Di China, Pony.ai kini mengendalikan lebih 1,970 kenderaan dengan sasaran 3,500 kenderaan menjelang akhir 2026.
Satu lagi pengalaman menarik: saya memesan kopi menggunakan perkhidmatan penghantaran dron.
Meituan, salah satu platformnya beroperasi sejak 2021 di Shenzhen dan sehingga hujung Jun 2026, telah menyelesaikan 1,000,000 pesanan komersial di bandar-bandar Shenzhen, Beijing, Shanghai, Guangzhou, Hong Kong malah Dubai, dengan purata masa penghantaran 15 minit.
Bagi komuniti setempat, perkhidmatan ini sememangnya memudahkan rutin harian. Bayangkan jika berlaku kesesakan trafik atau ketika kecemasan yang memerlukan penghantaran ubat-ubatan ke kawasan pedalaman atau pulau. Penghantaran dron mungkin penyelesaiannya.
China Bangunkan Ekonomi Altitud Rendah
Tetapi ini bukan sekadar soal kereta terbang, robotaxi, apatah lagi penghantaran dron. Kita perlu melihatnya dalam konteks lebih luas: Ekonomi Altitud Rendah.
China kini bersungguh-sungguh fokus kepada pembangunan Ekonomi Altitud Rendah, yang diluluskan dalam Rancangan Lima Tahun ke-15 (2026–2030) dengan menetapkannya sebagai keutamaan strategik nasional. Sasarannya: 3.5 trilion yuan menjelang 2035.
China kini memegang lebih 70 peratus permohonan paten dron global dan menyumbang lebih 50 peratus infrastruktur vertiport yang dirancang di seluruh dunia.
Namun, cabaran komersialisasi tetap wujud: kerangka peraturan, infrastruktur dan penerimaan awam. Perkara-perkara ini menjadi pertimbangan utama China.
Yang penting, teknologi sudah ada; yang sedang dibina sekarang ialah ekosistem kepercayaan (the trust ecosystem).
Tetapi, di sebalik perkembangan teknologi yang melintas langit, terdapat satu lagi wajah Guangzhou yang ingin saya kongsikan. Seni Teh Guangfu.
Di Akademi Weng Nuan, saya menyaksikan upacara membancuh teh yang pada mulanya kelihatan terlalu rumit dengan pelbagai adab dan tertib.
Tetapi apabila saya faham bahawa setiap gerakan menuang air panas itu diselarikan dengan falsafah “Tao” (yang mengajar kesabaran, penghormatan dan kebersamaan), barulah saya sedar ini bukan sekadar minum teh.
Yang menariknya, anak muda Gen Z tidak meninggalkan tradisi ini. Sebaliknya, mereka menghidupkan semula melalui kafe teh moden yang menggabungkan estetik Guangfu dengan alunan muzik muzik, menjadikannya ruang rehat spiritual selepas hari bekerja yang mencabar.
Apa yang boleh kita belajar?
Pertama, warisan dan inovasi bukan musuh. Di Malaysia, kita sering terjebak dalam perdebatan palsu: sama ada memelihara tradisi atau mengejar kemodenan. Guangdong menunjukkan bahawa jawapannya ialah “kedua-duanya.”
Kedua, visi jangka panjang memerlukan komitmen berterusan. Industri kereta terbang di China tidak muncul semalaman.
Di Malaysia, kita terlalu cepat berputus asa apabila projek tidak memberi hasil dalam satu penggal pilihan raya. Inovasi memerlukan kesabaran, bukan?
Ketiga, regulasi dan inovasi perlu berjalan seiring. China mendahului dalam pensijilan komersial eVTOL dan lesen operasi dron penuh. Sementara itu, Malaysia perlu membangunkan kerangka peraturan yang progresif untuk teknologi baharu, bukan sekadar tunggu dan lihat.
Seperti falsafah “Tao” yang mengajar kesabaran dan keseimbangan, saya fikir satu hari nanti, mungkin ketika saya sedang minum kopi kampung di Kuantan sambil memerhatikan dron melintas menghantar pesanan, saya akan tersenyum.
Kerana pada ketika itu, saya tahu teknologi itu sudah jadi sebahagian dalam kehidupan kita - dan saya boleh menghabiskan kopi dengan tenang.
Fauzi ialah penulis dan peneraju di Kumpulan Media China yang bertugas di Pusat Program Bahasa-Bahasa Asia-Afika yang berpangkalan di Beijing.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.