DUNIA
[KOLUMNIS] Sidang Kemuncak BRICS bermula, takluk kuasa Selatan Global
![[KOLUMNIS] Sidang Kemuncak BRICS bermula, takluk kuasa Selatan Global [KOLUMNIS] Sidang Kemuncak BRICS bermula, takluk kuasa Selatan Global](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/71751810378_TBBRICSRIO.jpg)
Sejak penubuhannya, BRICS sering menggesa pembaharuan dalam sistem tadbir urus global serta menuntut suara yang lebih besar untuk negara membangun dalam forum-forum antarabangsa. - Gambar Reuters
SIDANG Kemuncak BRICS yang bermula pada Ahad di Rio de Janeiro berlangsung di tengah-tengah kritikan berterusan oleh pemimpin Amerika Syarikat yang mendakwa kumpulan itu bersifat anti-Barat.
Kehadiran negara-negara yang dianggap seteru tradisi Washington seperti Rusia, China dan Iran dalam BRICS dilihat sebagai faktor utama kepada persepsi bahawa blok negara-negara membangun ini menentang kepimpinan kuasa Barat.
Pada 2024, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang ketika itu merupakan senator, menyifatkan BRICS sebagai “ancaman terhadap Amerika dan dunia Barat.”
Dalam sebuah artikel, beliau mendakwa BRICS ditubuhkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada 2009 dengan matlamat untuk menamatkan dominasi global Amerika Syarikat.“BRICS kini dikawal oleh Beijing, menggabungkan rizab asing dan memberikan pinjaman mudah kepada negara membangun bagi menentang kepentingan Barat,” katanya.
Menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada November 2024 pula, Donald Trump turut memberi amaran terhadap sebarang usaha BRICS untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika.
Trump memberi amaran bahawa negara-negara BRICS bakal berdepan tarif sehingga 100 peratus sekiranya mereka memperkenalkan mata wang bersama.
“Kami menuntut komitmen bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang baharu BRICS atau menyokong sebarang mata wang lain yang boleh menggugat dolar Amerika,” tegas Trump di platform media sosial miliknya.
BRICS mula dominasi global
Kini, BRICS dianggotai oleh Brazil, Rusia, China, India, Iran, Arab Saudi, Ethiopia, Indonesia, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir – yang mewakili hampir 50 peratus populasi dunia dan menyumbang kepada 40 peratus KDNK global.
Sejak penubuhannya, BRICS sering menggesa pembaharuan dalam sistem tadbir urus global serta menuntut suara yang lebih besar untuk negara membangun dalam forum-forum antarabangsa.
Usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar dan mencari alternatif kepada institusi kewangan sedia ada merupakan antara agenda utama sejak 2009.
Namun, adalah tidak wajar untuk melabel BRICS sebagai blok anti-Barat secara keseluruhan.
Walaupun China, Rusia dan Iran sememangnya menentang dominasi Amerika, terdapat juga negara anggota seperti Brazil dan India yang mengekalkan hubungan erat dengan Washington dan Eropah Barat.
Bagaimanapun, sikap neutral BRICS terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kemasukan Iran ke dalam blok dan kecaman terhadap tindakan Amerika Syarikat serta Israel terhadap Iran, dilihat menguatkan persepsi bahawa BRICS sedang bergerak ke arah bertentangan dengan kepentingan Barat.
Tanpa kehadiran Jinping & Putin
Sidang Kemuncak BRICS kali ini membuka tirai tanpa kehadiran Presiden China, Xi Jinping, yang buat pertama kalinya dalam lebih sedekad lalu.
Jinping yang selama ini menjadikan BRICS sebagai tonggak utama dalam usahanya untuk merubah susunan kuasa global, diwakili oleh Perdana Menteri China, Li Qiang.
Sidang kemuncak selama dua hari itu berlangsung ketika kumpulan negara membangun utama – yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta lima ahli baharu iaitu Mesir, Ethiopia, Iran, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu – berdepan tekanan untuk menunjukkan kesepaduan dalam keadaan ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar.
Ketidakhadiran Jinping tidak bermaksud China mengurangkan komitmennya terhadap BRICS sebaliknya blok itu kekal sebagai sebahagian daripada usaha Beijing untuk memastikan ia tidak dikekang oleh sekutu Amerika Syarikat.
Di sebalik ketidaktentuan global
Sidang kemuncak ini juga berlangsung dalam suasana ketegangan global, termasuk pengumuman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap beberapa ekonomi BRICS serta tindakan bersama Amerika Syarikat dan Israel mengebom kemudahan nuklear Iran baru-baru ini.
Tarikh akhir pada 9 Julai untuk rundingan berhubung tarif tersebut menambahkan lagi tekanan terhadap negara-negara BRICS untuk bertindak secara bersama.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, sekutu rapat Jinping dalam kumpulan itu juga tidak hadir secara fizikal dan dijangka menyertai sidang menerusi pautan video.
Brazil, seperti Afrika Selatan, merupakan penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan terikat dengan kewajipan untuk menangkap Putin atas pertuduhan jenayah perang berkaitan konflik di Ukraine.
Dengan ketiadaan Putin dan Putin, tumpuan sidang kemuncak kali ini dijangka tertumpu kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang turut mengadakan lawatan negara ke Brazil bersempena sidang tersebut.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, juga hadir di tengah kota raya Rio de Janeiro.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut menghadiri sidang berkenaan susulan penyertaan rasmi negara itu sebagai anggota BRICS tahun ini.
Sidang kemuncak kali ini dilihat sebagai ujian terhadap keupayaan BRICS untuk mengekalkan kesepaduan dan kepentingannya dalam landskap global yang kian berubah serta keutamaan domestik yang berbeza-beza dalam kalangan anggotanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami