DUNIA

[KOLUMNIS] Sudan: Punah kerana sengketa

Razali Awang 04/12/2025 | 04:20 MYT
Kemelut yang berlaku di Sudan menjadikan salah satu krisis kemanusiaan paling besar dan diabaikan masyarakat antarabangsa. - Gambar Reuters
SAMA seperti Mesir, nama Sudan sangat dekat di hati rakyat Malaysia.

Dari segi usia kemerdekaan, negara itu hampir sebaya dengan Malaysia, merdeka pada 1 Januari 1956. Namun, kerakusan kuasa di kalangan elit politik dan tentera menyebabkan impian rakyat untuk mengecapi keamanan dan kemakmuran tidak pernah menjadi kenyataan.

Tradisi kudeta yang tidak berkesudahan

Sudan mempunyai sejarah moden yang penuh dengan rampasan kuasa.

Dalam tempoh lebih enam dekad, berlaku lebih 20 siri percubaan atau kejayaan kudeta, menjadikannya antara negara paling tidak stabil selepas Bolivia.

Hanya setahun selepas mencapai kemerdekaan, Sudan sudah diuji.

Percubaan rampasan kuasa oleh Ismail Kabeida (Abdel Rahman Ismail Kabeida) dapat dipatahkan, namun kerajaan demokratik pertama negara itu tetap gagal bertahan lama.

Pada 17 November 1958, Mejar Jeneral Ibrahim Abboud merampas kuasa tanpa pertumpahan darah dikenali sebagai self-coup selepas Perdana Menteri, Abdallah Khalil, seorang bekas jeneral, bekerjasama secara senyap dengan pihak tentera. Beliau berharap tindakan itu dapat memulihkan kestabilan politik dan ekonomi.

Namun, sepanjang enam tahun pemerintahannya, Abboud juga gagal membawa pembaharuan bermakna.
Kebangkitan rakyat pada Oktober 1964 akhirnya menumbangkan pentadbirannya.

Percubaan peralihan kepada kepimpinan awam

Bagi memulihkan ketidaktentuan politik, sebuah kerajaan campuran peralihan dibentuk dengan Sirr Al-Khatim Al-Khalifa dilantik sebagai Perdana Menteri pada 30 Oktober 1964.

Jawatan ketua negara pula dipikul secara kolektif oleh Majlis Kedaulatan yang mempunyai lima anggota, di mana ahli-ahlinya bergilir-gilir menjadi presiden setiap bulan — suatu kaedah unik dalam sejarah politik dunia.

Pilihan raya pada April–Mei 1965 membawa kepada pelantikan Ismail al-Azhari sebagai Presiden Majlis Kedaulatan pada 10 Jun 1965.

Era Jaafar Nimeiri: 16 tahun penuh pergolakan

Pada Mei 1969, berlaku satu lagi kudeta besar yang diketuai Brigadier Jeneral Jaafar Nimeiri, disokong pegawai komunis dan nasionalis.

Pemerintahannya berlangsung 16 tahun, tetapi turut dihimpit pelbagai percubaan menggulingkannya.

Antaranya pada 1971 iaitu percubaan Rampasan kuasa oleh kumpulan komunis dan pada Julai 1976: bantahan berdarah di Khartoum yang menyebabkan pertempuran jalanan besar-besaran.

Akhirnya, pada April 1985, rakyat sekali lagi bangkit dan memaksa Nimeiri jatuh.

Fil Marsyal Abdel Rahman Swar al-Dahab, Menteri Pertahanan ketika itu, mengambil alih kuasa melalui Majlis Tentera Peralihan. Benar kepada janjinya, beliau menyerahkan kuasa setahun kemudian kepada kerajaan dipilih rakyat, dipimpin Sadiq al-Mahdi.

Kekuasaan Omar Al-Bashir: 30 tahun pemerintahan kuku besi

Impian rakyat Sudan untuk ditadbir secara demokratik hancur semula pada 1989, apabila Jeneral Omar Al-Bashir merampas kuasa.

Pemerintahannya selama 30 tahun dikenang sebagai era pelanggaran hak asasi manusia, konflik berpanjangan, krisis ekonomi dan rasuah yang berleluasa.

Di bawah pentadbirannya, Sudan melaksanakan dasar yang mendekatkan diri kepada politik Islam termasuk hukum Syariah, namun kegagalan menangani korupsi dan ketidakadilan sosial menjadikan rakyat terus menderita.

Konflik yang berterusan akhirnya membawa kepada pemisahan Sudan Selatan pada 2011.

Kecewa dengan keadaan negara, rakyat bangkit pada 2019. Al-Bashir dijatuhkan dan ditahan untuk dibicarakan atas tuduhan rasuah serta jenayah lain.

RSF, SAF dan perang saudara baharu

Walaupun tersingkir, pengaruh Al-Bashir masih wujud, terutama dalam Rapid Support Forces (RSF), sebuah pasukan separa tentera yang berasal daripada militia Janjaweed, terkenal dengan kekejaman di Darfur pada awal 2000-an.

RSF ditubuhkan pada 2013 sebagai pengimbang kuasa kepada tentera nasional Sudanese Armed Forces (SAF).

Pada April 2019, ketua RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) dan komander SAF, Abdel Fattah Al-Burhan bersama-sama menggulingkan Al-Bashir.

Namun, kerjasama itu tidak kekal. Persengketaan kuasa antara mereka mencetuskan perang saudara dahsyat yang bermula April 2023 dan masih berlanjutan sehingga kini.

Akibat perang SAF–RSF, lebih 7.3 juta menjadi pelarian dalaman (IDP) manakala lebih empat juta melarikan diri ke negara jiran.

Itu belum lagi dengan jumlah kehilangan nyawa yang mana angka korban tidak dapat disahkan, namun laporan tidak rasmi menganggarkan lebih 400,000 kematian.

Kemelut yang berlaku menjadikan salah satu krisis kemanusiaan paling besar dan diabaikan masyarakat antarabangsa.

Inilah Sudan sebuah negara Afro-Arab yang tidak mudah difahami yang penuh sejarah pertikaian.



* Razali Awang ialah Perunding Media Al-Khair Malaysia.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#Kolumnis AWANI #Sudan #kudeta #rampasan kuasa