DUNIA

[KOLUMNIS] Trump ke Kuala Lumpur: Antara anak muda dan bayang kuasa dunia

Adam Mukhriz 23/10/2025 | 11:15 MYT
Kehadiran Trump disifatkan menandakan satu hakikat penting iaitu ASEAN bukan lagi blok di pinggiran yang menunggu giliran di meja rundingan. - Gambar/ Reuters
DARI lorong sempit di Chow Kit, meniti arus Sungai Gombak hingga terbentang ke Dataran Merdeka, kota ini gegak gempita dengan satu khabar berita tentang kedatangan “Ketua Polis Demokrasi Dunia” ke tanah air kita.


Ringkasan AI
  • Kedatangan Presiden AS Donald Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 mencetuskan perhatian meluas, menandakan Malaysia sebagai pusat diplomasi serantau yang dihormati di mata dunia.
  • Penulisan Adam Mukhriz menyorot bagaimana kehadiran pemimpin dunia membuka peluang kepada generasi muda dalam bidang digital, komunikasi dan media, serta memperkukuh keterlihatan Malaysia dalam jaringan global.
  • Kuala Lumpur digambarkan bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi mercu tanda diplomasi moden yang mengangkat nilai kesederhanaan, inovasi dan tenaga muda sebagai aset utama dalam geopolitik Asia Tenggara.


Dari peniaga keropok lekor tanpa lesen di kaki lima SOGO hingga ke teknokrat di kediaman Bukit Tunku, semua serentak menoleh, bukan kerana konvoi VVIP lalu di sebelah, tetapi kerana sejarah baharu sedang menekan loceng pintu negara.

Keriuhan ini tidak lagi terbatas di perimeter nadi ekonomi ibu kota. Keriuhan ini merebak, menjalar dan menular menjadi topik utama di hampir semua platform berita dan media sosial. Dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Telok Melano, dari warung kopi ke bilik mesyuarat kementerian. Setiap inci ruang wacana menjadi gelanggang debat, penuh warna, penuh emosi seolah-olah Malaysia sedang bersiap sedia menyambut tetamu yang lebih besar daripada acara akhir Piala Dunia (sekiranya Malaysia layak).

Agak janggal untuk kita membayangkan sebelum ini bahawa nama Donald Trump dan Kuala Lumpur akan bergandingan dalam satu ayat tanpa unsur jenaka dan sindiran politik.

Namun inilah realiti baharu politik serantau. Apalagi mengikut rekod, beliau pernah anggap wilayah ini sebagai ‘somewhere near China’. Lebih menggelikan hati, khabarnya beliau datang atas jemputan yang bukan semua dalam Kabinet pun tahu, termasuk Menteri beliau yang digelar sebagai Menteri Perang tetapi tidak pasti di mana ASEAN itu terletak di peta dunia.

Sebagai anak muda yang bekerja di bandar ini, kita sering merasa jauh dari urusan besar politik antarabangsa. Tidak ada fungsi keterlibatan individu apalagi manfaat secara terus kepada kita. Tetapi realitinya, apa yang berlaku di meja sidang dunia itu adalah asas utama dalam merangka dan membentuk masa depan ekonomi, peluang kerja, malah kestabilan hidup kita sendiri.

Kuala Lumpur bukan lagi sekadar kota tumpuan untuk anak muda melepas lelah pada hujung minggu. Bila pemimpin-pemimpin dunia menjejakkan kaki ke sini, isyaratnya jelas, Malaysia masih punya posisi yang dihormati dalam peta diplomasi global. Sebuah negara bersaiz kecil dengan suara yang cukup besar untuk didengari, dan cukup waras untuk dipercayai menjadi jambatan antara kuasa besar.

Trump mungkin datang dengan lagak gaya yang kita sedia maklum bersama retorik yang pernah menggoncang laman berita dunia dan tempatan, tapi kehadirannya menandakan satu hakikat penting; ASEAN bukan lagi blok di pinggiran yang menunggu giliran di meja rundingan.

Mata dunia sedang tertumpu ke Asia Tenggara untuk melihat bagaimana model kestabilan, kesederhanaan digerakkan bersama tenaga muda sebagai aset dan penerus legasi negara bangsa.

Bagi mereka yang bergiat dalam dunia digital, komunikasi atau media, kehadiran Trump bukan sekadar berita politik. Ini adalah peluang. Bila kuasa besar berkumpul di sini, pintu pelaburan terbuka, jaringan global terbina, dan keterlihatan Malaysia di mata dunia korporat semakin terang. Kadang-kadang, yang diperlukan untuk menaikkan profil negara hanyalah beberapa sidang dialog, dan sedikit ‘drama geopolitik’ di jalan Tun Razak.

Bagi kebanyakan warga kota (berdasarkan sentimen di media sosial), kedatangan pemimpin dunia hanya sekadar membawa berita yang menggusar; trafik lumpuh dan Waze hilang arah. Tapi di sebalik kesesakan yang memeningkan itu, ada naratif yang jauh lebih besar. Dunia sedang bersaing untuk menulis bab baharu dalam sejarah ekonomi serta keselamatan dan Malaysia berdiri tepat di persimpangan itu.

ASEAN, di bawah tuan rumah Malaysia, berusaha menampilkan imej “neutral tapi relevan”. Kita bukan sekadar pemerhati dalam pertarungan Amerika dan China, tapi pemain tengah yang membawa suara serantau yang mencerminkan kestabilan dan kesederhanaan.

Bagi generasi muda Malaysia, ini masa yang tepat untuk memahami bahawa diplomasi bukan milik eksklusif ahli politik atau diplomat berpin bendera di dada. Ia juga tentang bagaimana kita sendiri menerapkannya melalui budaya kerja, inovasi, dan cara berfikir untuk membawa nilai Malaysia ke pentas dunia.

Anak muda Malaysia hari ini (termasuk penulis) hidup dalam dunia tanpa sempadan. Kita bekerja dengan klien di Thailand, berunding dengan pasukan di Jakarta, dan bersantai dengan kandungan muzik heavy metal dari Eropah. Dalam erti lain, kita sudah pun berada dalam geopolitik cuma masing-masing enggan menerima hakikat ini.

Dalam dunia yang semakin berantakan, Malaysia masih berdiri dan kekal dengan pendekatan bersahabat dengan semua, fokus kepada manfaat bersama berbanding mencari titik perbezaan.

Ini bukan kelemahan tapi pendekatan yang strategik. Nilai kesederhanaan dan kebijaksanaan inilah yang menjadikan Kuala Lumpur tempat pertemuan dunia, bukan medan pertempuran ideologi.

Kita mungkin bukan kuasa besar, tapi kita ada sesuatu yang lebih bernilai iaitu tenaga muda, kreativiti, dan keupayaan menyesuaikan diri. Bila dunia datang ke KL, itu bukan sekadar urusan pemimpin di meja rundingan, ia juga peluang untuk rakyat, terutamanya generasi muda menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjadi pusat idea, inovasi, dan toleransi.

Apabila Trump tiba di hadapan Menara Berkembar Petronas nanti, mungkin kita masih terperangkap dalam trafik, atau sedang beratur beli kopi sebelum masuk kerja. Tapi di sebalik rutin itu, ada sesuatu yang patut kita rasa. Rasa bangga, bangga kerana kota yang kita diami ini menjadi pentas utama dunia berkumpul.

Lebih penting, memupuk kesedaran bahawa masa depan geopolitik Asia bukan hanya ditentukan oleh pemimpin beruban di meja rundingan, tapi juga oleh generasi yang membina masa depan bersama semangat yang progresif dan realistik.

Kehadiran Trump mungkin sebentar cuma, tapi makna dan simbol kehadirannya akan kekal sebagai peringatan bahawa Kuala Lumpur bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi mercu tanda diplomasi moden.


* Adam Mukhriz ialah seorang penulis.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#Donald Trump #ASEAN25 #Malaysia #anak muda