DUNIA

Kolumnis Washington Post, Karen Attiah dipecat selepas kritik Charlie Kirk dan isu keganasan politik

Agensi 16/09/2025 | 00:10 MYT
Attiah mendakwa beliau dipecat daripada bahagian Ruangan Pendapat akhbar itu selepas lantang bersuara menentang keganasan politik, dwi-standard perkauman serta sikap sambil lewa Amerika terhadap isu senjata api.
WASHINGTON: Penulis kanan Washington Post, Karen Attiah mendakwa beliau dipecat daripada bahagian Ruangan Pendapat akhbar itu selepas lantang bersuara menentang keganasan politik, dwi-standard perkauman serta sikap sambil lewa Amerika terhadap isu senjata api.

Washington Post, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai hal berkaitan kakitangan, namun, biografi Attiah di laman web rasmi telah dikemaskini daripada “adalah” kepada “bekas” kolumnis - mengesahkan beliau tidak lagi bersama organisasi tersebut.

Pemecatan itu berlaku selepas Attiah memuat naik beberapa kenyataan di media sosial susulan pembunuhan tokoh konservatif, Charlie Kirk minggu lalu.

Beliau mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “retorik kosong” mengecam keganasan tanpa disusuli tindakan konkrit.

Dalam salah satu tulisannya, Attiah menegaskan, antara faktor yang menjadikan Amerika kekal ganas ialah “desakan supaya masyarakat menunjukkan simpati palsu, kebaikan kosong dan pengampunan terhadap lelaki kulit putih yang menyebarkan kebencian serta keganasan.”

Attiah tidak menyebut nama Kirk secara langsung, namun menjawab seorang pengikut dengan berkata: “Menolak untuk meratap secara pura-pura atas kematian seorang lelaki kulit putih yang menyokong keganasan bukanlah satu bentuk keganasan.”

Dalam catatan blog pada Isnin, Attiah mendakwa, pandangannya mendapat respons positif di pelbagai platform, tanpa penentangan awam yang besar.

Namun, dakwaannya bahawa Kirk “menyokong keganasan” dipercayai menjadi faktor pengurusan Washington Post menandakan kenyataan itu sebagai bermasalah.

Beliau berkata, pihak pengurusan menuduh tulisannya di Bluesky sebagai “tidak boleh diterima”, “salah laku serius” dan “mengancam keselamatan fizikal rakan sekerja” - tuduhan yang disifatkannya tidak berasas serta ditolak sepenuhnya.

Krisis dalaman bahagian Pendapat Washington Post telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu, seiring langkah pemiliknya, Jeff Bezos yang mahu menukar haluan lembaga editorial.

Bezos sebelum ini menegaskan. akhbar itu akan memberi penekanan kepada dua tonggak: kebebasan peribadi dan pasaran bebas.

Musim panas lalu, akhbar itu turut melantik Adam O’Neal sebagai editor baharu ruangan Pendapat.

Sejak itu, ramai penulis berpengalaman telah meninggalkan Washington Post.

Attiah menambah: “Saya adalah kolumnis kulit hitam sepenuh masa terakhir di Washington Post, di sebuah wilayah yang antara paling majmuk di Amerika.”

Pemecatannya juga berlaku ketika aktivis konservatif giat menekan agar individu yang mengkritik atau memperlekeh legasi Kirk selepas kematiannya dipecat daripada pekerjaan masing-masing. - Agensi




#kolumnis Washington Post #Karen Attiah #Karen Attiah dipecat #Charlie Kirk #Charlie Kirk maut ditembak