DUNIA
Komander dron Korea Selatan digantung tugas, disyaki terlibat undang-undang tentera

Mej Jen Kim Yong-dae digantung tugas pada Isnin, menurut Kementerian Pertahanan, sehari selepas waran tangkap terhadapnya dimohon. - Foto REUTERS
SEOUL: Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Isnin berkata pihaknya telah menggantung tugas ketua Markas Operasi Dron berhubung syak wasangka bahawa dron tentera telah dihantar secara haram ke Korea Utara tahun lepas sebagai sebahagian daripada persediaan untuk pelaksanaan undang-undang tentera oleh bekas Presiden Yoon Suk Yeol, lapor Agensi Berita Yonhap.
Komander unit itu, Mej Jen Kim Yong-dae digantung tugas pada Isnin, menurut Kementerian Pertahanan, sehari selepas waran tangkap terhadapnya dimohon berkaitan siasatan berhubung cubaan Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera yang gagal pada Disember lepas.
Pasukan peguam khas yang diketuai oleh Cho Eun-suk memfailkan permohonan waran itu terhadap Kim, yang kini berada dalam tahanan, atas pertuduhan termasuk memalsukan dokumen rasmi.
Pasukan penyiasat mengesyaki Yoon memberi arahan langsung kepada komander dron itu pada Oktober tahun lepas untuk menghantar dron ke Korea Utara tanpa memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan atau Ketua Turus Bersama (JCS), yang didakwa bertujuan untuk mencetuskan provokasi ketenteraan dari Korea Utara bagi mewajarkan pengisytiharan undang-undang tentera.Kim telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya, menyangkal sebarang kaitan antara penghantaran dron ke Korea Utara dengan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon.
Beliau menegaskan bahawa penghantaran dron itu dilakukan secara sah di bawah arahan JCS sebagai sebahagian daripada langkah tindak balas terhadap kempen belon oleh Korea Utara terhadap Korea Selatan.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul dijadualkan mengadakan sesi pendengaran mengenai sama ada untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Kim pada petang Isnin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami