DUNIA

Komander elit Iran muncul di upacara pengebumian selepas dikhabarkan hilang

Agensi 28/06/2025 | 22:40 MYT
Esmail Qaani yang dikenali sebagai antara orang kanan Ayatollah Ali Khamenei, dilihat berada dalam kalangan orang ramai ketika menghadiri upacara pengebumian kenegaraan di ibu negara Tehran.
TEHRAN: Seorang komander kanan Iran yang sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas serangan Israel, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau terbunuh, akhirnya muncul di khalayak umum pada Sabtu.
Komander Pasukan Quds, Esmail Qaani, yang juga dikenali sebagai antara orang kanan kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilihat berada dalam kalangan orang ramai ketika menghadiri upacara pengebumian kenegaraan di ibu negara Tehran.
Beliau turut ditemu bual secara langsung oleh media tempatan.
Ketika ditanya oleh wartawan apakah mesejnya kepada rakyat Iran, Qaani berkata: “Setakat ini kita telah berjaya dan mulai sekarang kita juga akan terus mara dengan kejayaan.”
Qaani tidak kelihatan di khalayak sejak beberapa hari lalu susulan serangan udara luar biasa oleh Israel, dan ketiadaannya mencetuskan pelbagai khabar angin.
Namun, beliau kini disahkan sebagai salah seorang pemimpin tertinggi ketenteraan yang terselamat dalam konflik terbaru itu.
Untuk rekod, Qaani menggantikan Qasem Soleimani sebagai ketua Pasukan Quds – sayap luar negara Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) – selepas Soleimani terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat semasa penggal pertama pentadbiran Donald Trump.
Sementara itu, Ali Shamkhani – seorang lagi tokoh politik dan ketenteraan Iran yang sebelum ini turut dispekulasi terkorban – turut kelihatan menghadiri upacara pengebumian tersebut, berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan oleh media rasmi Iran. - Agensi
#konflik Israel-Iran #Komander Pasukan Quds #Esmail Qaani #pengebumian negara Iran