DAMSYIK : Seorang komander tertinggi dalam Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) maut dalam serangan udara ke atas bangunan konsulat negara itu di sini, dakwa pegawai tertinggi pemerintah Iran.

Media sekutu negara itu turut menyalahkan Israel atas serangan itu.

Komander Pasukan Quds Iran, Mohammed Reza Zahedi merupakan antara yang terbunuh dalam insiden pada Isnin itu, menurut Kementerian Luar Iran.

Bercakap kepada pemberita di Damsyik, Duta Besar Iran, Hossein Akbari mendakwa bangunan itu "disasarkan dengan enam peluru berpandu dari pesawat perang F-35 Israel."

“Antara lima dan tujuh orang terbunuh dalam serangan itu. Saya berada di pejabat saya di kedutaan pada masa itu dan menyaksikan sendiri kemusnahan itu,” kata Akbari.

Hossein menambah, kakitangan diplomatik Iran dan penasihat tentera terbunuh dalam serangan itu dan nama-nama mereka akan diumumkan kemudian.

Dalam temu bual berasingan pada Isnin, beliau berkata, dua anggota polis Syria pula antara yang cedera.

CNN, bagaimanapun, tidak boleh mengesahkan dakwaan berkenaan.

Media kerajaan Syria, Syrian Arab News Agency juga melaporkan bahawa "tindakan pencerobohan Israel pada Isnin, menyasarkan sebuah bangunan di kejiranan Mezzeh di Damsyik" menyebabkan "kemusnahan besar-besaran."

Diminta oleh CNN untuk mengulas insiden itu, Angkatan Pertahanan Israel menegaskan, tidak akan mengulas mengenai laporan asing.

Rakaman selepas letupan itu yang diterbitkan oleh media negara Iran Press TV, menunjukkan kerosakan pada bangunan, kebakaran dan asap di tempat kejadian.

Menteri luar Iran dan Syria juga menuduh Israel merancang serangan itu, dengan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian menyebutnya sebagai "pelanggaran semua kewajipan dan konvensyen antarabangsa" dan menuntut "tindak balas serius oleh masyarakat antarabangsa.”

Menteri Luar Syria, Faisal Mekdad pula menyifatkan dakwaan serangan itu sebagai "pelanggaran besar peraturan antarabangsa, terutamanya Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961," tegas Faisal dalam panggilannya dengan Hossein Amir-Abdollahian.

Mohammed Reza, komander yang terbunuh dalam serangan berkenaan, sebelum ini merupakan komander pasukan darat IRGC, komander tentera udara IRGC, dan timbalan komander operasi IRGC. - CNN