ISTANBUL: Komando Tentera Laut Iran merampas sebuah kapal kontena milik seorang jutawan Israel, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media Israel.

Menurut Israel's Channel 14 dan Times of Israel, kapal yang dirampas di Selat Hormuz ialah MSC Aries yang didaftarkan di Portugal dan dimiliki oleh Zodiac Maritime sebuah syarikat perkapalan dimiliki jutawan Israel Eyal Ofer.

Bagaimanapun, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah kapal telah dirampas dalam kawasan itu tanpa memberikan sebarang butiran.

"Kapal itu dilaporkan disita oleh pihak berkuasa di rantau itu," kata UKMTO sambil mengeluarkan amaran supaya "kapal dinasihatkan untuk singgah dengan hati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti yang menimbulkan kesangsian kepada UKMTO."

-- BERNAMA