[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Komuniti Sikh di Kanada koyak bendera India, bantah kehadiran Modi di G7

Agensi 17/06/2025 | 22:20 MYT
Penduduk komuniti Sikh di Kanada mengoyak bendera India sebagai tanda protes terhadap jemputan yang diberikan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada pada Selasa. - Gambar Reuters
CALGARY: Penduduk komuniti Sikh di Kanada mengoyak bendera India sebagai tanda protes terhadap jemputan yang diberikan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada pada Selasa.

Ringkasan AI
  • Komuniti Sikh di Kanada memprotes kehadiran Narendra Modi ke Sidang Kemuncak G7 dengan mengoyak bendera India dan melaungkan slogan anti-Modi.
  • Penunjuk perasaan menyuarakan isu penindasan terhadap masyarakat Sikh, termasuk dakwaan kehilangan kewarganegaraan dan diskriminasi di India dan luar negara.
  • Ketegangan diplomatik antara Kanada dan India berterusan, susulan dakwaan penglibatan India dalam pembunuhan pemimpin pemisah Sikh, Hardeep Singh Nijjar, yang dinafikan oleh kerajaan Modi.

Protes itu berlangsung di Dataran Perbandaran Calgary, kira-kira sejam dari lokasi Sidang Kemuncak Pemimpin G7 di Kananaskis, dengan puluhan penunjuk perasaan melaungkan slogan "Hapuskan Politik Modi".
Seorang pesara berusia 62 tahun dari Chesteremere, Alberta, Jasbir Johl berkata, beliau menyertai protes tersebut bagi membantah penindasan terhadap komuniti mereka.
"Ini sangat penting bagi kami kerana kami adalah orang tanpa kewarganegaraan. Kami adalah Sikh, Punjabi yang berasal dari Punjab, yang kini diduduki oleh India. Kami adalah orang tanpa negara.
"Kami ditindas di mana-mana sahaja. Apabila kami tinggal di negeri Punjab, sudah tentu kami ditindas kerana kami berada di bawah kawalan langsung kerajaan India. Tetapi walaupun apabila kami sama ada secara sukarela, atau atas rancangan kerajaan India berhijrah keluar dari India, kami tetap ditindas di negara lain, seperti Kanada," katanya.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menjemput Modi untuk menyertai sidang kemuncak itu sebagai tetamu, meskipun India bukan negara anggota G7.
Ini merupakan lawatan pertama Modi ke Kanada dalam tempoh sedekad dan dilihat sebagai ujian diplomatik penting bagi Carney yang masih baharu dalam arena politik.
Hubungan antara Kanada dan India tegang sejak bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menuduh kerajaan India terlibat dalam pembunuhan Hardeep Singh Nijjar, seorang pemimpin pemisah Sikh, di Kanada pada 18 Jun 2023.
Namun demikian, Kerajaan Modi menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan Nijjar, malah menuduh Kanada melindungi gerakan pemisah Sikh.
#G7 #Penunjuk perasaan #Narendra Modi #mark carney