ISTANBUL: Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud pada Ahad membincangkan "perkembangan serantau dan antarabangsa yang sedang berlaku" di tengah-tengah konflik Asia Barat yang kini memasuki bulan kedua, lapor Anadolu Ajansi.
Kedua-dua diplomat tertinggi itu menekankan "kepentingan dialog, diplomasi dan usaha kolektif untuk mempromosikan keamanan, keselamatan, serta kestabilan di rantau ini," menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.
Advertisement
Mereka mengulangi komitmen untuk penglibatan yang lebih erat dan bersetuju untuk terus bekerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala bagi "memperkukuh lagi kerjasama serta menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau."
Kedua-dua pihak turut "menyemak hubungan dua hala dan membincangkan usaha bersama berhubung perkembangan serantau," lapor Kementerian Luar Arab Saudi menerusi platform media sosial X.
Putera Faisal kemudiannya diraikan oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Sharif memberi jaminan bahawa "Pakistan akan sentiasa berganding bahu dengan Arab Saudi" dan turut mengulangi "solidariti serta sokongan penuh tanpa berbelah bahagi Pakistan" terhadap negara Asia Barat itu.
Putera Faisal kini dalam rangka lawatan ke Islamabad bagi menyertai mesyuarat empat hala peringkat menteri luar untuk membincangkan usaha pengantaraan bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Rantau berkenaan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,300 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU