WASHINGTON: Tiga kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berjaya keluar dari Selat Hormuz ketika diserang tanpa mengalami sebarang kerosakan langsung dan kini akan menyertai semula sekatan AS di laluan perairan penting itu, kata Presiden Donald Trump pada Khamis.
Trump berkata, kapal-kapal itu menjadi sasaran peluru berpandu dan dron Iran, namun serangan berkenaan berjaya dipintas, lapor Anadolu Ajansi.
“Tiga kapal pemusnah Amerika bertaraf dunia baru sahaja berjaya keluar dari Selat Hormuz ketika diserang.
"Tiada kerosakan berlaku ke atas ketiga-tiga kapal pemusnah itu, sebaliknya penyerang Iran mengalami kerosakan besar. Mereka dimusnahkan sepenuhnya bersama banyak bot kecil,” katanya menerusi platform Truth Social.
“Tiga kapal pemusnah kami, bersama kru mereka yang hebat, kini akan menyertai semula sekatan laut kami yang benar-benar ibarat ‘tembok keluli’,” katanya.
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) sebelum ini mengesahkan tenteranya memintas serangan Iran dan bertindak balas dengan “serangan pertahanan diri” ketika kapal perang AS melalui Selat Hormuz menuju ke Teluk Oman pada Khamis.
CENTCOM berkata, tiada aset AS terkena serangan ketika tiga kapal pemusnah Tentera Laut AS yang dilengkapi peluru berpandu melalui Selat Hormuz.
“Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menghapuskan ancaman yang menghampiri dan menyasarkan kemudahan tentera Iran yang bertanggungjawab menyerang tentera AS, termasuk tapak pelancaran peluru berpandu dan dron, lokasi perintah dan kawalan serta nod risikan, pengawasan dan tinjauan,” menurut kenyataan itu.
Trump kemudian berkata dalam wawancara dengan ABC News bahawa gencatan senjata dengan Iran masih berkuat kuasa, sambil menyifatkan serangan AS itu sebagai “tindak balas kecil.”
“Ia hanya tindak balas kecil. Gencatan senjata masih berjalan. Ia sedang berkuat kuasa,” kata Trump.
-- BERNAMA-ANADOLU