WASHINGTON: Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan empat daripada enam anak kapal sebuah pesawat pengisi minyak tentera negara itu maut selepas pesawat berkenaan terhempas di kawasan barat Iraq.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, CENTCOM memaklumkan nahas melibatkan sebuah pesawat pengisi minyak yang sedang menjalankan operasi di ruang udara wilayah berkenaan sebelum dilaporkan terhempas.
Advertisement
Pihak berkuasa tentera kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan baki dua lagi anak kapal yang masih hilang dalam insiden tersebut.
Walaupun siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan, laporan awal menunjukkan pesawat itu terbabit dalam nahas yang melibatkan sebuah lagi pesawat lain, namun pihak tentera menegaskan bahawa insiden itu bukan berpunca daripada serangan atau tembakan pihak musuh.
Pesawat kedua yang terlibat dalam perlanggaran itu dilaporkan berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kecederaan serius kepada anak kapalnya.
Kejadian ini menambah bilangan kehilangan aset ketenteraan Amerika Syarikat di rantau tersebut sejak konflik di Asia Barat memuncak baru-baru ini.
Identiti mangsa yang terkorban hanya akan didedahkan selepas semua waris terdekat dimaklumkan secara rasmi oleh Jabatan Pertahanan mengikut prosedur standard operasi ketenteraan.