Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: China kecam pembunuhan Ali Larijani, sifatkan tindakan Israel tidak boleh diterima

Parliament Speaker Ali Larijani gives a press conference in Tehran, Iran, Dec. 1, 2019. (AP Photo/Vahid Salemi, File)
China menyifatkan tindakan Israel membunuh Ketua Keselamatan Iran, Ali Larijani (foto), sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima. -Gambar fail/AP

BEIJING: Kerajaan China menyifatkan tindakan Israel membunuh Ketua Keselamatan Iran, Ali Larijani, sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik baharu di Asia Barat.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, menegaskan bahawa Beijing secara konsisten menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa, khususnya serangan ke atas pemimpin negara berdaulat.

Advertisement

Beliau berkata siri pembunuhan bersasar oleh Israel bukan sahaja melanggar norma diplomasi global, malah dibimbangi akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di rantau berkenaan.

“Kami sentiasa menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.

"Tindakan membunuh pemimpin negara Iran dan menyerang sasaran awam adalah sesuatu yang lebih tidak boleh diterima,” kata Lin pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan kedaulatan sesebuah negara dihormati untuk mengelakkan konflik daripada terus merebak.

Kenyataan tegas Beijing itu hadir selepas pengesahan kematian Ali Larijani, yang merupakan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, dalam satu serangan udara Israel di Tehran pada Isnin.

Selain Ali Larijani, beberapa pegawai kanan perisikan dan keselamatan republik itu turut dilaporkan terkorban dalam operasi ketenteraan yang disifatkan oleh Israel sebagai langkah melumpuhkan struktur komando Iran.

China sebelum ini telah beberapa kali menyatakan kebimbangan terhadap siri serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Feb lalu, yang turut menjejaskan fasiliti tenaga dan infrastruktur awam.

Hubungan erat antara Beijing dan Tehran dalam sektor tenaga menjadikan China antara kuasa besar yang paling lantang menyuarakan bantahan terhadap campur tangan ketenteraan asing di Asia Barat yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Must Watch Video