Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran dakwa universiti jadi sasaran serangan

A row of chairs is seen through a hole left by U.S.-Israeli airstrikes Friday at Shahid Beheshti University in Tehran, Iran, Saturday, April 4, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Deretan kerusi kelihatan menerusi sebuah lubang akibat serangan udara AS–Israel pada Jumaat di Universiti Shahid Beheshti, Tehran, Iran. - Foto AP

TEHRAN: Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simaei-Sarraf mengecam tindakan Amerika Syarikat dan Israel yang didakwa menyerang institusi akademik serta fasiliti penyelidikan di negara itu sejak konflik tercetus pada akhir Februari lalu.

Beliau mendakwa lebih 30 universiti di seluruh Iran telah menjadi sasaran serangan, termasuk Shahid Beheshti University di Tehran yang mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara baru-baru ini.

Advertisement

Menurutnya, sekurang-kurangnya lima pensyarah universiti dan lebih 60 pelajar terkorban setakat ini.

Antara yang maut ialah Saeed Shamghadri, seorang profesor madya di Iran University of Science and Technology.

Beliau menyifatkan serangan ke atas infrastruktur pendidikan sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”, sambil mempersoalkan tindakan tersebut yang dianggap bertentangan dengan nilai demokrasi, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Serangan udara terbaru dilaporkan mengenai pusat penyelidikan laser dan plasma di Shahid Beheshti University pada Jumaat, mengakibatkan keseluruhan bahagian dalam bangunan musnah serta semua tingkap pecah.

Kesan letupan turut merosakkan bangunan lain yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Sejak siri serangan bermula, kerajaan Iran berulang kali mengutuk tindakan Amerika Syarikat dan Israel, dengan mendakwa sasaran terhadap institusi akademik dan penyelidikan sebagai pelanggaran serius undang-undang perang.

Tehran menegaskan serangan sedemikian bukan sahaja mengorbankan nyawa orang awam, malah menjejaskan pembangunan ilmu dan masa depan generasi muda negara itu.

 

Must Watch Video