ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mendakwa, Washington telah mula mengambil langkah untuk mengawal Selat Hormuz di tengah-tengah peperangan dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika ditanya dalam wawancara dengan Channel 14 Israel sama ada Washington mampu mengawal laluan air strategik itu, beliau menjawab: “Ya, sudah tentu, ia sudah pun berlaku.”
Advertisement
Trump turut menekankan apa yang disifatkannya sebagai penyelarasan rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai Iran.
Beliau percaya Iran amat mahu mencapai satu perjanjian.
“Saya fikir mereka sangat mahu melakukannya. Sesiapa pun mahu perjanjian jika anda sedang mengalami kemusnahan teruk, bukan?” katanya.
AS dan Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb lepas, mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU