Skip to main content

Advertisement

Dunia

Konflik Asia Barat: 'Perang dengan Iran akan tamat tidak lama lagi' - Trump

U.S. President Donald Trump returns to the White House, after Israel and the U.S. launched strikes on Iran, in Washington, D.C., U.S., March 1, 2026. REUTERS/Nathan Howard
Trump mendakwa bahawa dalam tempoh sembilan hari kebelakangan ini, AS dan Israel telah melancarkan “serangan dan operasi ketenteraan paling kompleks yang pernah disaksikan dunia”. - Foto fail/REUTERS

FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau menjangkakan perang terhadap Iran akan berakhir “tidak lama lagi”, ketika bercakap pada satu sidang media di Doral, Florida.

Apabila ditanya sama ada perang itu boleh tamat minggu ini, Trump menjawab: “Tidak, tetapi tidak lama lagi. Saya fikir sangat segera.”

Advertisement

Trump mendakwa bahawa dalam tempoh sembilan hari kebelakangan ini, AS dan Israel telah melancarkan “serangan dan operasi ketenteraan paling kompleks yang pernah disaksikan dunia”, sambil menegaskan bahawa objektif ketenteraan mereka “hampir lengkap”.

“Setiap kekuatan tentera Iran telah kami hapuskan sepenuhnya… kebanyakan kuasa laut Iran telah ditenggelamkan,” katanya.

Beliau turut berkata AS sedang mensasarkan keupayaan dron dan peluru berpandu Iran, mendakwa keupayaan tersebut kini “jatuh kepada kira-kira 10 peratus atau kurang”, dengan serangan berterusan ke atas lokasi pembuatan peluru berpandu dan dron.

Trump mendakwa lebih 5,000 sasaran telah dibom dalam operasi tersebut.

Trump juga berkata AS kini “mendahului jadual asal dengan jauh”, sambil memetik kejayaan operasi terdahulu termasuk ‘Operation Midnight Hammer’, yang menurutnya menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.

Beliau turut mendakwa negaranegara jiran Iran kini “berpihak kepada AS” selepas Iran melakukan tindakan yang dianggapnya “sangat bodoh”, dengan menyerang negaranegara yang sebelum ini neutral.

Trump menamakan Arab Saudi, UAE dan Qatar sebagai antara negara yang kini menyokong usaha ketenteraan AS.

Dalam isu kepimpinan Iran, Trump berkata beliau “kecewa” dengan pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin agung baharu Iran, menggantikan ayahandanya Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh.

Namun, Trump enggan mengulas sama ada pemimpin baharu itu akan menjadi sasaran seterusnya.

 

Must Watch Video