TEHRAN: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas serangan udara yang didakwa dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengenai dua unit kediaman di bandar Qaleh Mir, daerah Baharestan, dekat sini, menurut Agensi Berita Fars.
Fars melaporkan serangan itu berlaku di kawasan berpenduduk padat di wilayah Tehran, menyebabkan kemusnahan besar pada bangunan kediaman yang menjadi sasaran.
Advertisement
Gabenor Baharestan dipetik berkata operasi mengalihkan runtuhan dan mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah debris sedang giat dijalankan.
“Pasukan penyelamat masih menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan tidak menolak kemungkinan angka korban meningkat, memandangkan usaha menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian.
Serangan terbaharu itu menambah lagi ketegangan dalam konflik yang semakin memuncak antara Iran dengan AS serta Israel, ketika kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap kesan kemanusiaan akibat konflik berterusan di rantau tersebut.