Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump dakwa perjanjian dengan Iran ‘sudah dimeterai’, butiran masih belum jelas

U.S. President Donald Trump attends the G7 Summit in Evian-les-Bains, France, June 15, 2026. REUTERS/Christian Hartmann
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Evian-les-Bains, Perancis, pada Isnin. - Gambar Reuters

EVIAN-LES-BAINS, PERANCIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mendakwa, satu perjanjian awal untuk menamatkan konflik di Teluk sudah dimeterai antara Amerika Syarikat dan Iran, namun butiran lanjut masih belum didedahkan kepada umum.

“Perjanjian itu sudah ditandatangani sepenuhnya,” kata Trump sebaik tiba di Perancis untuk menghadiri Sidang Kemuncak G7, sambil memaklumkan Naib Presiden AS, JD Vance akan menghadiri majlis pemeteraian rasmi di Geneva pada Jumaat.

Perjanjian itu dijangka membuka semula Selat Hormuz yang sebelum ini disekat, selain melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari bagi memberi ruang kepada rundingan isu-isu lebih kompleks termasuk masa depan program nuklear Iran.

Harga minyak dunia turut mencatat penurunan ke paras terendah sejak 10 Mac, sejurus konflik tersebut menjejaskan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global.

Perkembangan itu dilihat sebagai langkah paling signifikan setakat ini untuk menamatkan konflik yang telah meragut sekurang-kurangnya 7,000 nyawa, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, selain menggugat pasaran tenaga dunia.

Namun, banyak perkara berkaitan perjanjian tersebut masih belum diperincikan.

Pegawai Amerika Syarikat dan Iran memaklumkan, perjanjian itu berpotensi memberikan manfaat ekonomi besar kepada Iran, termasuk penarikan sekatan, pembebasan aset luar negara serta penubuhan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion yang dibiayai sekutu Teluk.

Sumber pegawai Amerika Syarikat berkata, Iran perlu memenuhi syarat seperti tidak membangunkan senjata nuklear dan menghentikan sokongan kepada kumpulan proksi seperti Hezbollah untuk menikmati manfaat tersebut.

Butiran lanjut dijangka diumumkan dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun, Trump dilihat belum mencapai sebahagian besar matlamat asalnya apabila melancarkan serangan ke atas Iran bersama Israel pada 28 Februari.

Kerajaan teokratik Iran masih kekal berkuasa, manakala tuntutan untuk memansuhkan program peluru berpandu balistik serta menghentikan sokongan kepada kumpulan militan serantau juga belum dipenuhi.

Perjanjian itu turut tidak menjelaskan nasib simpanan uranium Iran. 

Tehran sebelum ini menafikan hasrat untuk membangunkan senjata nuklear dan menegaskan mereka tidak banyak berkompromi.

Walaupun perjanjian itu mengurangkan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, keadaan tersebut pada asasnya hanya mengembalikan situasi sebelum perang. 

Syarikat perkapalan pula memaklumkan operasi hanya akan disambung selepas keselamatan benar-benar terjamin.

Iran mencadangkan untuk mengekalkan kawalan bersama Oman ke atas selat berkenaan, manakala Amerika Syarikat menyatakan laluan itu akan dibuka tanpa tol selama 60 hari, dan peruntukan itu dijangka menjadi sebahagian daripada perjanjian muktamad.

Israel kekal pendirian

Konflik selari antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan, yang telah menyebabkan 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, turut menjadi isu utama yang belum diselesaikan.

Iran menyatakan, perjanjian itu memerlukan penghentian sepenuhnya permusuhan, namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, Israel akan terus menempatkan tenteranya di selatan Lubnan dan mengekalkan hak untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan Hezbollah.

“Iran mahu kami berundur, tetapi saya tetap dengan pendirian,” katanya dalam sidang media, sambil mengakui wujud perbezaan pandangan antara beliau dan Trump berhubung konflik tersebut.

Seorang pegawai Amerika Syarikat memaklumkan, pengunduran tentera Israel dari Lubnan bukan syarat dalam perjanjian itu.

Sumber keselamatan berkata, tahap pertempuran berkurangan selepas pengumuman perjanjian, namun belum berhenti sepenuhnya.

Media tempatan Lubnan melaporkan, sebuah dron Israel menyerang sebuah kenderaan di Kfar Tebnit, selatan Lubnan, mengorbankan pemandu. 

Netanyahu pula mendakwa, tenteranya membunuh empat militan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menegaskan, serangan Israel perlu dihentikan serta-merta.

Dalam kalangan pegawai Israel, sentimen terhadap perjanjian itu dilaporkan negatif, dengan seorang pegawai kanan menyifatkannya sebagai “buruk untuk Israel”, satu pandangan yang dikatakan dikongsi secara meluas dalam kerajaan pimpinan Netanyahu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement