Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump luah kekecewaan terhadap NATO, Rutte memahami

U.S. President Donald Trump holds a bilateral meeting with NATO Secretary General Mark Rutte at the World Economic Forum (WEF) in Davos, Switzerland, January 21, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst Purchase Licensing Rights
Rutte berkata Trump jelas kecewa dengan sikap beberapa negara anggota NATO. - Gambar/ Reuters

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu pertemuan tertutup dengan Setiausaha Agung pakatan itu, Mark Rutte, pada Rabu, ketika hubungan dalam pakatan ketenteraan berkenaan dilaporkan berada pada tahap kritikal susulan perang Iran.

Rutte berkata Trump jelas kecewa dengan sikap beberapa negara anggota NATO, satu pandangan yang menurutnya dapat difahami, selepas mereka mengadakan perbincangan lebih dua jam di Rumah Putih, lapor Reuters.

Advertisement

“Beliau jelas kecewa dengan ramai sekutu NATO, dan saya boleh memahami pandangannya,” kata Rutte dalam temu bual bersama CNN, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai perbincangan yang sangat berterus terang dan terbuka antara dua rakan baik.

Kenyataan Rutte itu dibuat beberapa jam selepas jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, memetik Trump sebagai berkata NATO “telah diuji dan mereka gagal” ketika perang Iran sedang memuncak.

Beberapa negara NATO didakwa enggan menyokong kempen ketenteraan AS terhadap Iran, termasuk dengan tidak membenarkan pesawat tentera AS menggunakan ruang udara mereka atau enggan menghantar aset tentera laut bagi membantu membuka semula Selat Hormuz kepada kapal tangki.

Tanpa menamakan negara terlibat, Rutte berkata pandangan peribadinya ialah “sebilangan” negara NATO gagal menunaikan komitmen masing-masing dalam operasi berkaitan Iran, namun menegaskan bahawa “sebahagian besar negara Eropah” telah memberikan bantuan.

Rumah Putih bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan tersebut, manakala Trump dalam hantaran di Truth Social selepas pertemuan itu mendakwa NATO tidak bersama AS ketika diperlukan dan tidak akan bersama jika diperlukan lagi pada masa hadapan.

Trump sebelum ini berulang kali melabel NATO sebagai “harimau kertas” dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini turut mengancam untuk menarik diri daripada pakatan trans-Atlantik yang dianggotai 32 negara itu, dengan alasan sekutu Eropah terlalu bergantung kepada jaminan keselamatan AS tetapi gagal memberikan sokongan mencukupi terhadap kempen pengeboman AS-Israel di Iran.

Walaupun Trump berkata pada Selasa bahawa serangan terhadap Iran akan dihentikan buat sementara di bawah gencatan senjata dua minggu, kesan konflik tersebut terus membebankan hubungan Washington dengan sekutu-sekutunya, menandakan implikasi diplomatik berkemungkinan berlarutan lebih lama.

Sementara itu, Leavitt mendakwa negara anggota NATO telah “membelakangi rakyat Amerika” yang membiayai pertahanan mereka, dan memaklumkan Trump akan mengadakan perbincangan yang “sangat terus terang dan jujur” dengan ketua NATO.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump menggesa negara yang bergantung kepada minyak dari rantau Teluk agar mematahkan cengkaman Iran ke atas Selat Hormuz, namun diplomat Eropah berkata negara-negara Eropah tidak cenderung menyertai operasi menyahperiuk api atau misi lain untuk menjamin kebebasan pelayaran selagi konflik berterusan.

 

Must Watch Video