WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau tidak bimbang dengan kenaikan harga petrol yang berlaku susulan konflik yang semakin memuncak dengan Iran.
Dalam wawancara eksklusif bersama Reuters pada Khamis, Trump menegaskan operasi ketenteraan AS menjadi keutamaan pentadbirannya ketika ini.
Advertisement
“Saya tidak bimbang mengenainya,” kata Trump ketika ditanya mengenai kenaikan harga petrol.
Selain itu, beliau turut berpandangan bahawa harga bahan api dijangka kembali menurun selepas konflik berakhir.
“Harga akan turun dengan cepat apabila semuanya selesai. Jika ia naik sekalipun, ia hanya sedikit. Perkara ini jauh lebih penting daripada kenaikan kecil harga petrol,” ujarnya
Konflik yang tercetus sejak Sabtu lalu telah menyebabkan harga minyak global meningkat kira-kira 16 peratus susulan gangguan bekalan dari Asia Barat.
Di AS, purata harga petrol nasional meningkat 27 sen dalam tempoh seminggu kepada AS$3.25 bagi setiap gelen, menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA).
Difahamkan, jumlah itu juga 15 sen lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, Trump menegaskan kenaikan tersebut masih terkawal dan peningkatan harga tersebut tidak terlalu tinggi.
Dalam masa sama, pegawai kanan White House dilaporkan sedang meneliti beberapa langkah bagi mengekang peningkatan harga tenaga, termasuk mengadakan perbincangan dengan ketua eksekutif syarikat minyak.
Bagaimanapun,pentadbiran Trump setakat ini tidak merancang untuk menggunakan Rizab Petroleum Strategik, iaitu simpanan kecemasan minyak mentah terbesar di dunia.