WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan mengancam untuk mengebom Oman, sebuah negara sekutu Washington sekiranya negara Teluk itu dianggap menghalang usaha pentadbirannya dalam rundingan dengan Iran.
Menurut laporan Fox News, ancaman itu dibuat Trump ketika ditemu bual menerusi telefon oleh seorang wartawan rangkaian tersebut, dengan Presiden AS itu turut menggunakan kata-kata kesat ketika mengeluarkan kenyataan berkenaan.
AS dan Oman ketika ini masing-masing menjalankan rundingan berasingan dengan Tehran bagi membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang penting kepada ekonomi global dan sebahagian besarnya ditutup sejak hampir enam bulan susulan konflik antara AS dan Iran.
Terdahulu, pegawai Iran memaklumkan, Tehran dan Muscat hampir memuktamadkan perjanjian berkaitan pembukaan semula laluan itu.
Namun, masa depan rundingan antara AS dan Iran masih tidak menentu berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) selama 60 hari antara kedua-dua negara kini menghampiri tarikh tamat.
Ketika ditemui wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, Trump ditanya sama ada beliau berhasrat melanjutkan MoU berkenaan, namun menjawab ringkas: "Tidak."
Sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran pada Februari lalu, Tehran telah menyekat sebahagian besar laluan di Selat Hormuz, yang lazimnya menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Pembukaan semula laluan itu kini menjadi antara agenda utama rundingan pelbagai pihak.
Oman, yang terletak di bahagian selatan selat tersebut, menegaskan ia kekal sebagai negara berkecuali dalam konflik berkenaan.
Bagaimanapun, negara itu dilaporkan menerima beberapa serangan daripada Iran dan kini memainkan peranan penting sebagai perantara dalam rundingan dengan Tehran bagi membuka semula laluan perkapalan itu.
Pada masa yang sama, Washington turut menjalankan usahanya sendiri untuk memastikan Selat Hormuz dibuka semula.
Trump turut dipetik oleh sebuah agensi berita antarabangsa sebagai berkata: "Jika Oman menghalang, kami akan mengebom mereka."
Bagaimanapun, tidak jelas apakah yang dimaksudkan Trump sebagai tindakan Oman yang boleh dianggap menghalang cita-citanya untuk mencapai perjanjian dengan Iran.
Dalam wawancara yang sama, Trump turut mendakwa, AS mempunyai saluran komunikasi langsung dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), sebuah organisasi yang memainkan peranan besar dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan politik negara itu.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan IRGC.
Jurucakap organisasi berkenaan berkata, tiada sebarang rundingan berlaku antara pegawai IRGC dan pihak AS, sambil menyifatkan kenyataan Trump sebagai tidak berasas.
Ancaman Trump terhadap Oman dibuat hanya beberapa jam selepas Iran memaklumkan satu persetujuan telah dicapai bagi membolehkan kapal-kapal kembali menggunakan Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman mengenai laluan transit yang akan digunakan.
Beliau berkata, butiran akhir akan dimuktamadkan sebelum kenyataan bersama dikeluarkan, sambil menegaskan rundingan tersebut berjalan dalam suasana yang positif.
Awal bulan ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan bahawa pembukaan penuh Selat Hormuz bergantung kepada pampasan yang perlu dibayar AS atas apa yang didakwa Tehran sebagai pelanggaran terhadap MoU yang ditandatangani sebelum ini.
Menurut laporan Reuters yang memetik seorang pegawai Iran, Tehran turut menuntut bayaran antara lima hingga tujuh peratus daripada nilai kargo bagi setiap kapal yang melalui laluan tersebut.
Walaupun mendakwa mempunyai saluran komunikasi langsung dengan IRGC, Trump memberi bayangan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk menamatkan konflik yang sedang berlangsung.
MoU antara AS dan Iran yang ditandatangani pada 18 Jun lalu bertujuan mewujudkan gencatan senjata serta membuka semula sekurang-kurangnya sebahagian laluan di Selat Hormuz.
Namun, persetujuan itu gagal bertahan apabila kedua-dua pihak kembali melancarkan serangan tidak lama selepas itu.
Pada 8 Julai, Trump mengisytiharkan gencatan senjata tersebut telah "berakhir" dan mengkritik kepimpinan Iran susulan pertukaran serangan terbaharu antara kedua-dua negara.
Menjelang tamat tempoh rasmi MoU pada Isnin, Trump menerusi platform Truth Social menegaskan, keutamaan utama Washington kekal sama.
"Matlamat nombor satu dan akan sentiasa menjadi matlamat utama, ialah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear dalam apa jua bentuk," katanya. - Agensi