ANKARA/ISTANBUL: Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, usaha mengekalkan kestabilan di Iran dan seluruh Asia Barat adalah kritikal, sambil memberi amaran bahawa serangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran membawa risiko ketidakstabilan serantau yang lebih luas, malah di peringkat global, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami sedang gigih berusaha bagi memastikan ketenangan dan mewujudkan semula suasana damai" serta mengembalikan pihak-pihak yang berkonflik ke meja rundingan, katanya kepada pemberita semasa majlis iftar, kelmarin.
Advertisement
Beliau menegaskan, walaupun kumpulan proksi serantau Iran belum menunjukkan mobilisasi berskala besar setakat ini, aktiviti terhad telah mula diperhatikan.
Fidan berkata, pada masa ini, tiada pergolakan dalaman yang ketara di Iran yang boleh menjurus kepada pertukaran rejim tetapi beliau menyifatkan senario paling buruk adalah peningkatan konflik berpanjangan yang boleh melanda seluruh rantau itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu nampaknya sedang meluaskan objektifnya daripada sekadar melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran kepada kemungkinan menyasarkan rejim itu sendiri, kata beliau.
"Syarat minimum untuk menamatkan perang adalah dengan melumpuhkan infrastruktur ketenteraan teras Iran, manakala senario maksimum mungkin melibatkan pertukaran rejim, kata Fidan.
"Netanyahu sudah tentu mahu ancaman yang dibawa oleh Iran dihapuskan, baik untuk hari ini mahupun masa hadapan. Beliau sebelum ini menyifatkan ancaman itu sebagai keupayaan Iran, namun kini beliau melangkaui perkara itu dan menyasarkan rejim itu sendiri. Terdapat objektif untuk melakukan pertukaran rejim," katanya.
Fidan turut menyatakan bahawa Ankara sebelum ini berusaha untuk menangguhkan meletusnya konflik melalui penglibatan diplomatik, namun rundingan berkenaan terhenti susulan tindakan ketenteraan yang diperbaharui.
Beliau berkata, pegawai Iran menyifatkan tindakan menyambung semula serangan ketika rundingan sedang berjalan sebagai satu pengkhianatan terhadap diplomasi.
"Gangguan aliran gas asli dari Iran juga boleh mendatangkan risiko besar kepada keterjaminan bekalan tenaga global," katanya.
Beliau memberi amaran bahawa sebarang gangguan dalam eksport gas asli Iran atau ketidakstabilan yang menjejaskan bekalan tenaga di Teluk boleh mencetuskan kejutan bekalan global yang ketara.
-- BERNAMA-ANADOLU