KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menimbang untuk mengaktifkan Artikel 9 Konvensyen Genosid sebagai usaha yang berpotensi untuk mencari penyelesaian muktamad terhadap konflik yang berlarutan di Gaza.

Ahli Lembaga Pengarah Undang-undang untuk Palestin (L4P), Hassan Ben Imran berkata, penglibatan Malaysia dalam pelbagai platform antarabangsa selain statusnya sebagai negara pihak-pihak kepada Konvensyen Genosid boleh meraih sokongan daripada negara yang sehaluan dan membawa keadilan kepada rakyat Palestin.

"Malaysia adalah anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan ketuanya boleh dihubungi.

"Memandangkan Malaysia juga merupakan ahli atau negara pihak kepada Konvensyen Genosid, negara ini boleh mengaktifkan Perkara 9 yang secara khususnya menekankan Pencegahan dan Hukuman Jenayah.

"Diharapkan beberapa negara sahabat bersedia berganding bahu dengan Malaysia untuk membawa kes itu ke ICJ dan menuntut penghakiman terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel," kata Hassan semasa temu bual dalam program 'The Nation' yang disiarkan oleh Bernama News Channel pada Jumaat.

Menurut laporan antarabangsa, terdapat 149 negara yang menyertai Konvensyen Genosid dengan setiap negara mempunyai hak melaporkan mengenai pembunuhan beramai-ramai yang kini berlaku di Gaza dilaporkan kepada PBB.

Sekiranya pihak negara lain mempertikaikan tuntutan pembunuhan beramai-ramai dan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) juga adalah negara pihak maka ICJ dikehendaki membuat keputusan mengenai 'tanggungjawab sesebuah negara ke atas pembunuhan beramai-ramai.'

Walaupun menyokong perjuangan Palestin hari ini adalah 'tidak popular' dalam keadaan semasa. Hassan berkata, beliau tersentuh dengan usaha besar dan berterusan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya.

"Saya memahami sepenuhnya bahawa menyokong Palestin bukanlah sesuatu yang popular, namun Malaysia dari segi sejarah sehingga saat ini sentiasa konsisten dalam menyokong rakyat Palestin. Sokongan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan spektrumnya, sangat bermakna.

"Sebagai rakyat Palestin, ahli undang-undang dan ahli pertubuhan undang-undang yang bekerja dalam aktiviti dan mekanisme rejim undang-undang antarabangsa, saya melihat perjuangan untuk Palestin dalam kalangan masyarakat Malaysia akan menjadi kuasa penyatuan yang lebih kuat," katanya.

Konvensyen Genosid adalah antara konvensyen pertama PBB yang membincangkan isu kemanusiaan. Ia diterima pakai pada tahun 1948 sebagai tindak balas terhadap kekejaman semasa Perang Dunia II dan berdasarkan Resolusi A.G. 180(II) pada 21 Disember 1947 iaitu PBB mengakui bahawa genosid adalah jenayah antarabangsa yang melibatkan tanggungjawab nasional dan antarabangsa individu dan negara.

Sejak itu, konvensyen berkenaan telah diterima dengan meluas oleh komuniti antarabangsa dan diratifikasi oleh majoriti besar negara.

L4P ialah organisasi hak asasi manusia bukan untung yang bertujuan untuk membina rangkaian global yang berkesan bagi profesional undang-undang yang berminat dalam isu Palestin, termasuk menyediakan kandungan undang-undang yang diperkaya, pelbagai dan objektif mengenai Palestin-Israel. - BERNAMA