HYDERABAD: Ketidaktentuan akibat konflik global menjejaskan setiap sektor ekonomi, kata Perdana Menteri India Narendra Modi pada Khamis.
"Dunia hari ini sedang melalui tempoh pergolakan besar. Konflik terus berlarutan di banyak bahagian dunia," katanya ketika berucap pada sidang media bersama Perdana Menteri Belgium Bart De Wever yang sedang melawat India di New Delhi.
"Sama ada makanan, bahan api atau rantaian bekalan, setiap sektor terjejas akibat ketidaktentuan," katanya.
Kedua-dua pemimpin menggesa dialog dan diplomasi bagi menamatkan perang Ukraine-Rusia yang kini memasuki tahun kelima serta menyelesaikan konflik di Asia Barat.
De Wever merupakan Perdana Menteri Belgium pertama melawat India dalam tempoh 20 tahun.
India dan Belgium menandatangani beberapa memorandum persefahaman bagi meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang serta bersetuju mempertingkat kerjasama dalam industri pertahanan dan semikonduktor.
Kedua-dua negara menyambut baik pemuktamadan rundingan perjanjian perdagangan bebas India-Kesatuan Eropah (EU) pada Januari tahun ini dan menggesa rundingan mengenai perjanjian perlindungan pelaburan EU-India serta perjanjian mengenai petunjuk geografi barangan dimuktamadkan segera.
-- BERNAMA