INTERNATIONAL
Konflik India-Pakistan “bukan urusan kami” – Naib Presiden Amerika Syarikat
Menurut Vance, AS tidak mempunyai keupayaan untuk memaksa India atau Pakistan menghentikan tindakan ketenteraan mereka dan menegaskan, penyelesaian hanya akan dicapai melalui saluran diplomatik. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance menegaskan, konflik ketenteraan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan “pada asasnya bukan urusan kami” walaupun beliau dan Presiden Donald Trump menyeru kedua-dua negara supaya meredakan ketegangan.
Dalam satu temu bual bersama Fox News, Vance berkata: “Apa yang boleh kami lakukan ialah menggalakkan pihak-pihak ini untuk mengurangkan ketegangan, tetapi kami tidak akan campur tangan dalam peperangan yang pada dasarnya bukan urusan kami dan di luar kawalan Amerika.”
Kata Vance lagi, AS tidak mempunyai keupayaan untuk memaksa India atau Pakistan menghentikan tindakan ketenteraan mereka dan menegaskan, penyelesaian hanya akan dicapai melalui saluran diplomatik.
“Harapan dan jangkaan kami ialah konflik ini tidak akan berkembang menjadi perang serantau yang lebih besar atau minta dijauhkan konflik nuklear,” tambahnya.
“Buat masa ini, kami tidak fikir itu akan berlaku.”
Kenyataan Vance hadir ketika ketegangan di antara India dan Pakistan terus meningkat.
Laporan CNN menyebut, pihak berkuasa India mendakwa Pakistan telah melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah sasaran ketenteraan di wilayah India dan Kashmir yang ditadbir India.
Sebaliknya, Islamabad menafikan dakwaan tersebut, tetapi dalam kenyataan terdahulu mendakwa telah membunuh antara 40 hingga 50 askar India di sempadan de facto di Kashmir serta menembak jatuh lebih dua dozen dron milik India.
India pula mengesahkan telah menyerang sistem pertahanan udara Pakistan sebagai tindak balas terhadap tindakan tersebut.
Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu mencetuskan kebimbangan global, namun kenyataan dari Washington menunjukkan AS mengambil pendekatan berhati-hati dan enggan terlibat secara langsung dalam konflik tersebut. - Agensi