INTERNATIONAL
Konflik India-Pakistan: Penduduk diselubungi ketakutan, batal aktiviti harian
Ketegangan antara India- Pakistan yang semakin memuncak menimbulkan ketakutan penduduk di Chakothi, sebuah kampung berhampiran sempadan de facto antara Kashmir yang ditadbir Pakistan dan Kashmir yang ditadbir India pada Isnin.- Gambar Reuters
KASHMIR: Ketegangan antara India dan Pakistan yang semakin memuncak menimbulkan ketakutan penduduk di Chakothi, sebuah kampung berhampiran sempadan de facto antara Kashmir yang ditadbir Pakistan dan Kashmir yang ditadbir India pada Isnin.
Salah seorang penduduk, Sadiq Mughal berkata, disebabkan situasi tegang kebelakangan ini, penduduk tidak lagi dapat meneruskan aktiviti malah terpaksa menghentikan segala rancangan harian.
"Mereka yang sedang membina rumah telah menghentikan kerja. Perniagaan terhenti. Saya seorang penjaga kedai.
"Saya kekurangan beberapa barang di kedai saya tetapi saya tidak membawa masuk barang-barang tersebut kerana saya tidak dapat melihat keadaan di sempadan. Apa yang akan berlaku? Media menggambarkan keadaan seperti perang," soalnya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Shabbir Mughal memberitahu, populasi penduduk di kawasan itu telah meningkat dan menimbulkan kebimbangan kerana kemudahan bunker tersedia tidak mencukupi.
"Oleh itu, orang ramai bimbang bagaimana mereka akan menyelamatkan anak-anak mereka sekiranya berlaku kebakaran dari India atau perang. Orang ramai sangat risau," katanya.
Susulan konflik, India menyekat aliran air ke Pakistan dari Empangan Baglihar di Sungai Chenab selepas menggantung Perjanjian Air Indus.
Langkah India itu sebagai tekanan diplomatik terhadap Pakistan susulan serangan pengganas di Pahalgam,di wilayah Jammu dan Kashmi yang meragut 26 nyawa dengan kebanyakan mangsa adalah pelancong.
Untuk rekod, Perjanjian Air Indus yang dimeterai sejak 1960 dengan perantara Bank Dunia, menetapkan peraturan pembahagian penggunaan Sungai Indus dan anak-anak sungainya antara India dan Pakistan. - Agensi