INTERNATIONAL
Konflik India-Pakistan tidak bermula dengan pembunuhan 26 pelancong di Kashmir - Penganalisis
Pegawai keselamatan India di lebuh raya menuju ke Pahalgam, Selatan Kahsmir yang merupakan tempat kejadian pembunuhan 26 pelancong India pada April lalu. - REUTERS/Adnan Abid
KUALA LUMPUR: Konflik India-Pakistan yang melibatkan operasi ketenteraan ketika ini tidak bermula dengan pembunuhan 26 pelancong India di Kashmir.
Ringkasan AI
- Faktor Ekonomi dan Politik Domestik India: Konflik ini dipengaruhi oleh isu ekonomi dan politik domestik India.
- Penindasan di Kashmir: Pembunuhan 26 pelancong India di Kashmir dikaitkan dengan penindasan berterusan oleh India di wilayah tersebut sejak 1947, yang menyebabkan penentangan daripada penduduk Kashmir.
- Gencatan Senjata: India dan Pakistan kini berada dalam tempoh gencatan senjata selepas berbalas serangan selama empat hari.
Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, isu ekonomi dan politik domestik India merupakan faktor penyumbang kepada insiden berkenaan meletus ke skala lebih besar seperti yang sedang berlaku.
“Walaupun kita boleh menyalahkan pengganas sebagai faktor yang menyebabkan konflik ini berlaku, tetapi ada juga faktor domestik India yang memainkan peranan.
“India di bawah kepimpinan Narendra Modi berdepan dengan masalah sokongan rakyat terhadap kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) susulan kalah banyak kerusi dalam pilihan raya yang lalu, yang sepatutnya mendorong Modi letak jawatan. Tetapi masih mampu bentuk kerajaan gabungan.
“Selain itu, faktor ekonomi domestik yang menunjukkan ekonomi bertumbuh sehingga enam peratus, tetapi kadar pengangguran sangat tinggi sehingga sembilan peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Konflik India-Pakistan tidak bermula dengan pembunuhan 26 pelancong di Kashmir - Penganalisis
Dalam temu bual sama, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mizan Mohammad Aslam pula berpandangan, pembunuhan pelancong India di Kashmir mempunyai kaitan dengan penindasan yang dilakukan oleh India di wilayah berkenaan.
“Kenapa berlaku serangan yang membunuh 26 pelancong India di Kashmir? Insiden ini tidak akan berlaku tanpa sebab.
“Sebab (berlakunya insiden ini) adalah selama 78 tahun sejak 1947 telah berlaku penindasan berterusan oleh India. India menduduki tanah orang Kashmir, seperti yang dilakukan oleh Israel keatas penduduk Palestin.
“Apabila ada penduduk yang ditekan dan tanah dirampas, maka akan berlaku penentangan. Penentangan ini boleh membawa kepada insiden 22 April yang lalu,” ujarnya.
India dan Pakistan kini berada dalam tempoh gencatan senjata sejak Sabtu, selepas berbalas serangan empat hari sebelumnya.
Agenda AWANI: Gencatan senjata India-Pakistan