SYDNEY: Harga minyak mentah dunia melonjak susulan peningkatan ketegangan ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran membabitkan situasi di Selat Hormuz.
Minyak mentah Brent, yang menjadi penanda aras antarabangsa, meningkat lebih empat peratus pada Isnin selepas Washington dan Tehran saling melancarkan serangan udara serta peluru berpandu di laluan maritim strategik itu, lapor Al Jazeera.
Niaga hadapan Brent bagi penghantaran September berada pada paras AS$79.17 (kira-kira RM323) setong setakat jam 11 pagi waktu tempatan, sekali gus mencatat paras tertinggi sejak 22 Jun lalu.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) berkata pihaknya telah melancarkan berpuluh-puluh serangan ke atas Iran pada Ahad bagi melumpuhkan keupayaan negara itu menyerang kapal komersial, beberapa jam selepas membedil ratusan sasaran lain.
Tindakan ketenteraan itu dibuat selepas Washington menuduh tentera Iran menyerang sebuah kapal kontena yang melalui Selat Hormuz.
"Selat Hormuz ialah koridor maritim penting untuk perdagangan global. Iran tidak mengawalnya," menurut kenyataan CENTCOM.
🚫 CLAIM: The Iranian commander for the Islamic Revolutionary Guard Corps-Navy recently said on state-owned media that no foreign vessels may pass through the Strait of Hormuz without being identified, tracked, and monitored by Iranian forces.
✅ FACT: Iran does not control the… pic.twitter.com/8lRDNiOpXQ— U.S. Central Command (@CENTCOM) July 12, 2026
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan beberapa negara Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain.
Sebelum ini, pihak berkuasa Iran menegaskan bahawa kapal yang melalui laluan tertentu di Selat Hormuz perlu mematuhi pengaturan yang ditetapkan Tehran.
Konflik terbaharu itu turut mencetuskan kebimbangan dalam pasaran kewangan dan tenaga global memandangkan Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan minyak paling penting di dunia.